Kerajaan Sekarang Lebih Adil, Hormat Hak Sabah, Kata Presiden STAR

KOTA KINABALU: Presiden STAR Jeffrey Kitingan berkata, kerajaan pusat sekarang tidak seperti kerajaan terdahulu yang dianggap hanya mahu menjaja dan menguasai Sabah.

Katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin adalah kerajaan yang adil dan menghormati hak negeri itu.

“Buat pertama kalinya saya percaya, kepimpinan di Kuala Lumpur ketika ini adalah yang adil dan menghormati hak negeri Sabah, sebab itu saya sokong PN.

“Kita adalah Malaysia tapi dalam masa sama kita harus faham, kita mahu rakan kongsi sama rata, kita tidak mahu dikuasai, dijajah. Kerajaan ada sekarang bukan macam yang lama, lupakan yang lama kerana sekarang kita dalam era baru, era PN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis himpunan PN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung PPBM Hamzah Zainudin, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Pengerusi PPBM Sabah Hajiji Noor, Presiden SAPP Yong Teck Lee dan Setiausaha Agung PBS Jahid Jahim.

Sementara itu, Hamzah dalam ucapannya menyifatkan Jeffrey seorang yang sering ‘menakutkan’ beliau setiap kali pemimpin itu berucap.

“Orangnya kecil tapi pedas, kalau cili dia ini cili api, tetapi kalau mahu kesaksamaan, kalau mahu keadilan, hormat menghormati, itulah dia wadah parti PN.

“Mana ada parti yang begitu baru tetapi berjaya mendapatkan sokongan begitu banyak, Jeffrey janganlah takutkan saya lagi,” katanya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *