PRN Sabah: Pengundi Mesti Pilih Barisan Nasional

Ahmad Zahid dan kepemimpinan UMNO ketika Majlis Pelancaran Jentera BN PRN Sabah di Kota Kinabalu, hari ini. 

KOTA KINABALU: Pengundi perlu menyokong calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri (PRN) supaya tidak menyesal kali kedua kerana memberi peluang kepada kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN), sebelum ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata tiada parti selain BN yang mencatatkan rekod terbaik dalam membangunkan negeri Sabah.

Beliau berkata, rekod BN yang memerintah di Sabah sebelum ini, rekod terbaik berikutan banyak pembangunan dibuat.

“Namun kerana fitnah, kita lihat rakyat Sabah terpengaruh dan menyesal apabila kerajaan (lain) mengambil alih tampuk pemerintahan.

“Kita tahu selama dua tahun ini banyak masalah dihadapi kerajaan negeri sekarang, sedangkan Sabah negeri yang berpotensi untuk dibangunkan ekonominya.

“Sabah harus diperintah semula oleh Sabah. Tidak pernah dalam sejarah, kita memberi kuasa autonomi dan kini BN memberi autonomi sepenuhnya kepada Sabah untuk memilih calon.

“Malah jika kita cukup kerusi, kita akan bagi mereka pilih siapa yang jadi ketua menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Pelancaran Jentera BN PRN Sabah, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa.

Ahmad Zahid berkata, BN bekerja keras untuk memenangi PRN Sabah bukan kerana wang, sebaliknya ingin menebus kembali maruah.

“Kita bekerja bukan kerana wang ringgit tetapi ingin menebus kembali maruah kita, selepas pilihan raya umum (PRU) lepas.

“Kita punya kekangan dan kekurangan namun dalam kekurangan ini, kita perlukan jentera bergerak tapi saya yakin semangat mereka ini cukup tinggi, walaupun terlalu banyak ujian dihadapi,” katanya.

“Selain itu, kita juga berharap seboleh-bolehnya kita bersaing satu lawan satu,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *