WARISAN Tidak Pernah Pinggirkan Golongan Belia

KENINGAU: Meskipun baru 26 bulan mentadbir negeri ini, Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak pernah mengabaikan golongan muda sebaliknya sentiasa melakukan pelbagai pendekatan bagi memastikan masa depan mereka terjamin.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, beliau peka bahawa peluang pekerjaan merupakan satu isu kritikal yang perlu ditangani, justeru setiap perancangan atau projek kerajaan haruslah memberi manfaat kepada anak-anak muda.

“Saya tahu salah satu isu yang kritikal  yang perlu kita atasi ialah peluang pekerjaan untuk anak muda. Sebab itu bila saya mengambil alih kuasa, saya ingin pastikan setiap projek kerajaan buat, saya mahu tahu apa peluang pekerjaan untuk anak muda.

“Saya tidak mahu belanja duit tetapi tidak ada peluang pekerjaan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Dialog bersama NGO Peringkat Pedalaman, di Dewan Masyarakat Keningau, hari ini.

Sehubungan itu, Ketua Menteri berkata, sebelum ini kerajaan juga menyediakan mikro kredit sebanyak RM27 juta bagi memastikan anak-anak muda berkecimpung dalam bidang keusahawanan.

“Tahun lalu, saya minta Datuk Madius Tangau untuk pergi ke Singapura, pergi China, pergi tempat-tempat lain untuk memastikan bawa produk-produk yang buat halia di Tambunan.

“Saya beritahu bawa mereka pergi Singapura dan China, ini antara langkah kita membantu orang-orang kita berkecimpung dalam dunia perniagaan dan kita pastikan mereka juga boleh bawa produk mereka sampai ke pasaran antarabangsa.

“Ini antara langkah kerajaan supaya kita boleh mewujudkan peluang pekerjaan untuk orang muda,”jelasnya.

Bagaimanapun, Mohd. Shafie berkata, terdapat beberapa isu yang harus diatasi bagi memastikan anak muda ini boleh menikmati peluang pekerjaan.

Jelas beliau, anak-anak muda bukan sahaja harus mempunyai bakat-bakat yang penting, malah sijil ijazah mereka juga harus menepati kehendak pasaran semasa.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *