Rumah Sarang Burung Percuma Untuk Veveonah Jika WARISAN Menang

KOTA KINABALU: Keluarga Veveonah Mosibin akan menerima rumah sarang burung sekiranya Parti Warisan Sabah (WARISAN) kembali menjadi kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan ini.

Naib Presiden WARISAN, Datuk Junz Wong berkata, sekiranya kuasa diberikan semula kepada WARISAN selepas PRN September ini, pihaknya akan memastikan rumah sarang burung dibina untuk Veveonah dan keluarganya.

“Kalau WARISAN menang besar dalam pilihanraya ini, saya secara peribadi akan memastikan Veveonah dan keluarga akan menerima rumah sarang burung secara percuma,” katanya dalam satu kenyataan.

Veveonah

Kenyataan itu dibuat Junz sehari selepas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin menuduh Veveonah menipu dan menghasilkan video memanjat pokok demi mendapatkan tontonan di Youtube.

Kenyataan Zahidi itu menimbulkan kemarahan kepada rakyat di negeri ini.

Junz yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, pemberian rumah sarang burung percuma itu adalah lanjutan daripada program yang dilaksanakan oleh kerajaan WARISAN.

“Program ini dipanggil Program Sentuhan Rakyat dan dilaksanakan sejak 2018.

“Pada tahun lalu, sebanyak 150 rumah sarang burung dibina untuk rakyat Sabah di negeri ini dan daripada jumlah itu, 50 kita bina di Kudat dan Pitas,” katanya.

Beliau berkata, Pitas dan Kudat adalah kawasan yang dipegang UMNO sejak dulu tetapi sehingga kini ia adalah daerah termiskin di Malaysia.

“WARISAN sedar akan perkara ini dan sebab itu selepas mengambil alih pemerintahan, kami ubah Pitas sebagai hub sarang burung dan lebih dari satu pertiga jumlah keseluruhan program ini dibangunkan di Pitas kerana kawasannya sangat sesuai untuk ternakan sarang burung walit.

“Dengan kesesuaian ini, ia boleh menjadi salah satu sumber pendapatan yang tinggi kepada penduduk sekali gus membantu golongan miskin keluar dari kemiskinan

“Melalui program ini, Jabatan Perkhidmatan Veterina akan membina rumah sarang burung kepada peserta dan diberi tunjuk ajar seterusnya peserta diajar bagaimana untuk mengumpul sarang burung sebelum dibawa ke pasaran,” katanya.

Katanya, setakat ini program itu menunjukkan hasil yang positif dimana salah seorang pengusaha dari Kampung Bongkol, Pitas berjaya meraih pendapatan sehingga RM10,000 selepas menerima rumah sarang burung itu.

Sehubungan itu, Junz berkata ini adalah salah satu program untuk rakyat dibawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Adakah kita benar-benar boleh berikan rumah sarang burung walit percuma kepada Veveonah? Kita boleh, kami sudah lakukannya kepada ramai orang di Sabah dan ia dirancang untuk membantu rakyat Sabah seperti Veveonah dan keluarganya,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *