PRN Sabah: PKR Harap Dapat Lebih Banyak Kerusi

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berbincang mengenai PRN Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

KOTA KINABALU: Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengakui peratusan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka diperuntukkan kepada parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai ‘sangat kecil’.

Bagaimanapun, katanya, masih ada tempoh seminggu lagi sebelum hari penamaan calon pada 12 September ini untuk memuktamadkan semua perkara berkaitan PRN berkenaan, termasuk senarai calon.

Beliau berkata, perkara terbabit dibincangkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada pertemuan tertutup pagi ini.

“Pertemuan tertutup itu dihadiri Anwar, Mohd Shafie dan saya sendiri. Tujuannya adalah untuk melakukan ‘fine tuning’ bagi memuktamadkan semua perkara berkaitan PRN.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Mohd Shafie juga menyampaikan beberapa perkara berkaitan persiapan di peringkat negeri secara keseluruhan. PKR mengambil peluang ini untuk mendengar kedudukan terkini dan kita masih ada seminggu untuk muktamadkan semuanya.

“Dalam soal pengagihan kerusi, kita perlu ambil kira kawasan yang ada pembabitan UPKO (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu), DAP dan AMANAH (Parti Amanah Negara). Itu lumrah dalam mana-mana proses rundingan kerusi.

“Namun, peratus (kerusi) untuk PKR sangat kecil,” katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Penerangan Negeri Sabah di sini hari ini yang turut disertai Anwar; Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew.

Saifuddin berpendapat, PKR harus diberi peluang meletakkan lebih ramai calon berikutan terdapat penambahan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah daripada 60 kerusi sebelum ini.

“Dengan kekuatan yang PKR ada, kita rasa amat munasabah untuk (pertambahan) kerusi ditandingi PKR. Dengan pertambahan kerusi, ada munasabah peluang untuk PKR dibuka juga.

“Kekuatan PKR adalah dari segi jumlah keanggotaan di mana Sabah negeri kedua tertinggi selepas Selangor dengan 173,907 keahlian. Antara kawasan dengan keanggotaan tertinggi dalam PKR adalah Kudat, Tawau, Pensiangan, Silam, Kudat dan Sepanggar.

“Jumlah itu menggambarkan penerimaan masyarakat terhadap parti ini,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), sebanyak 60 kerusi DUN dipertandingkan di Sabah dengan PKR bertanding di sembilan kerusi DUN, iaitu Inanam, Tempasuk, Kadamaian, Moyog, Karanaan, Matunggong, Tamparuli, Kuala Penyu dan Api-Api.

Dewan Rakyat pada Julai tahun lalu, meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN Sabah, menjadikan kedudukan semasa 73 kerusi.

SPR turut dilapor mengesyorkan jumlah Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri bagi Negeri Sabah ditambah 13 bagi menjadikan jumlah keseluruhan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri bagi negeri berkenaan sebanyak 73.

Sebanyak 13 DUN berkenaan ialah N02 Bengkoka, N06 Bandau, N08 Pintasan, N13 Pantai Dalit, N17 Darau, N24 Tanjung Keramat, N27 Limbahau, N44 Tulid, N47 Telupid, N51 Sungai Manila, N58 Lamag, N61 Segama dan N70 Kukusan.

PRN Sabah bakal diadakan susulan pembubaran DUN yang diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, pada 30 Julai lalu.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *