Kemudahan Asas Di Sabah Masih Ketinggalan

KENINGAU: Isu tanah dan kemudahan prasarana seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya masih menjadi isu-isu utama di Sabah.

Isu-isu tersebut antara yang banyak dibangkitkan dalam Sesi Townhall Ketua Menteri bersama Mahkamah Anak Negeri (MAN) dan pemimpin masyarakat di peringkat pedalaman Sabah.

Biarpun setelah 57 tahun Malaysia dibentuk namun, keadaan prasarana di kawasan pedalaman di negeri ini masih ketinggalan jauh di belakang.

Sekiranya dikatakan Sabah akan maju jika bersama kerajaan persekutuan kenapa isu kemudahan asas sebegitu masih menjadi isu, masih jauh ketinggalan? Selama tempoh itu, kerajaan Sabah memang seiring dengan persekutuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, di bawah pemerintahan Warisan selama 26 bulan, isu tanah adat yang berada dalam kawasan hutan simpan berjaya diselesaikan di kebanyakan daerah di Sabah.

Misalnya, pekebun kecil di Ladang Bagahak, Lahad Datu yang akhirnya mendapat tanah yang dahulunya dimasukkan dalam kawasan tanah rizab kerajaan.

Namun,bila kerajaan Warisan memerintah, tanah itu dikembalikan kepada pekebun kecil di sana.

Sementara, di Kiau, Kota Belud juga, kerajaan telah mengeluarkan tanah perkampungan yang berada dalam tanah rizab kerajaan. Hanya dalam tempoh sembilan bulan sahaja isu tanah di Kiau ini berjaya diselesaikan di bawah pentadbiran kerajaan pimpinan Warisan.

“Kalau kampung-kampung wujud sebelum kawasan diisytiharkan sebagai rizab kerajaan, kita akan memberikan tanah kepada mereka yang berhak,” katanya dalam sesi townhall, di sini semalam.

Katanya, usaha membantu menyelesaikan isu tanah adat bagi mereka yang berhak akan diteruskan sekiranyan kerajaan Warisan terus diberi mandat memerintah Sabah.

Menurutnya, pemberian tanah akan dilakukan terhadap mereka yang berhak untuk mendapatkan tanah.

Mohd Shafie berkata, pemberian tanah itu penting demi membantu masyarakat luar bandar meneruskan kelangsungan hidup dengan bercucuk tanam.

Jika dilihat di Kundasang, anak-anak tempatan dibawa menyertai program bagi menanam sayuran dan buah-buahan menggunakan teknologi moden, fertigasi. Menerusi program itu, graduan yang mengganggur diberi peluang mengusahakan tanah dan mereka mampu menjana lebih RM4,000 sebulan daripada hasil pertanian.

Atas sebab itu, beliau mengingatkan mana-mana penerima geran tanah supaya mengusahakan tanah itu dengan hasil pertanian supaya memperoleh pendapatan yang berterusan. Jika tanah itu dijual, hasilnya hanya sekali sahaja tapi bila diusahakan, hasilnya boleh dinikmati oleh generasi akan datang.

Di bawah pemerintahan Warisan, tanah yang diberikan tidak boleh dijual kerana tanah itu adalah hak rakyat dan bimbingan turut diberikan kepada rakyat untuk mengusahakan tanah masing-masing.

Untuk bekalan air pula, masih banyak kawasan di Sabah sama ada di bandar mahupun luar bandar yang berdepan dengan kekurangan bekalan air.

Atas sebab itu, perancangan yang lebih baik perlu dilakukan bagi memastikan kemudahan asas sebegini dapat dibekalkan untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Tambahnya, sehingga kini kemudahan asas seperti air, elektrik dan jalan raya di Sabah masih jauh ketinggalan, kemudahan ini perlu disediakan kepada masyarakat terutama yang berada di pedalaman dan luar bandar.

Dengan itu, sebahagian hasil yang dipungut dari Sabah perlu dikembalikan kepada Sabah bagi membangunkan lebih banyak kemudahan prasarana di negeri ini.

“Sook antara tempat yang kita akan bangunkan kemudaha infrastruktur. Tapi pembangunan itu akan mengambil sedikit masa,” jelasnya.

Turut dibangkitkan adalah isu perumahan kos rendah bagi memudahkan rakyat memiliki rumah.

Berkaitan isu ini, penstrukturan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) akan dilakukan bagi memastikan agensi ini dapat melaksana tugas dengan sebaiknya.

“Kita kena ada pembangunan yang komprehensif. Bukan buat perumahan di Sabah tapi harga mahal macam mana rakyat Sabah mahu membeli rumah. Lembaga ini seharusnya membina rumah bagi membantu rakyat yang tidak berkemampuan, bukannya bersaing dengan swasta untuk menyediakan rumah yang harganya mahal,” jelasnya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *