Individu Terlibat Pertandingan Bola Sepak Di Tawau Perlu Buat Ujian Covid-19

TAWAU, 6 Sept: Semua individu terlibat dalam perlawanan bola sepak di Padang Penjara Tawau dan Padang Stadium Majlis Perbandaran Tawau (MPT) baru-baru ini yang masih belum melakukan ujian COVID-19 perlu segera berbuat demikian.

 Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau Dr G. Navindran berkata setakat tengah hari ini, kira-kira 100 individu hadir ke pusat saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Tawau di Kubota di sini hari ini untuk ujian COVID-19 selepas diarahkan berbuat demikian semalam.

“Saringan diambil sejak 8 pagi tadi dan pusat saringan dibuka sehingga 5 petang, individu yang terlibat berada di padang itu perlu tampil membuat saringan COVID-19,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam, Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau mengeluarkan notis meminta agar semua pemain, penonton dan yang terlibat dalam pertandingan bola sepak sembilan sebelah pada 28, 29 Ogos dan 2 Sept di Padang Penjara Tawau serta 30 dan 31 Ogos di Padang Stadium MPT di sini, menjalani ujian COVID-19.

Notis itu turut menyarankan individu yang terlibat dan mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi 019-6053475 atau 016-4729314.

Gesaan supaya mereka tampil membuat saringan kesihatan itu susulan pengesanan kes baharu melibatkan seorang pengadil perlawanan bola sepak itu, yang juga merupakan pegawai di Penjara Tawau,  didapati positif COVID-19 semalam.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *