Cukup-Cukuplah BN Perintah Sabah – Shafie

KENINGAU:‘Kalau kita mampu tumbangkan Umno dan BN semasa mereka berkuasa, tidakkan kita tidak boleh tumbangkan mereka semasa kita berkuasa di Sabah’.

Demikian gesaan dibuat Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal terhadap semua jentera pilihan raya Warisan Plus.

Beliau berkata, Warisan Plus kena pastikan gabungan Warisan, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) memenangi semua kerusi yang ditandingi.

“Kalau kalah satu kerusi itu akan memungkinkan kita tidak menjadi kerajaan di Sabah. Memang bukan mudah untuk menentukan siapa calon tapi, bila kita meletakkan calon gabungan kita, undilah calon itu.

“Kita tidak mahu BN, Umno, BERSATU, Pas bertapak di bumi Sabah,” katanya semasa berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera Warisan Plus sempena Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) ke-16, di sini semalam.

Ketua Menteri ini berkata, jangan bila Warisan Plus mengumumkan calon, calon itu tidak kena di hati ahli-ahli gabungan, mereka terus mengundi BN. Itu yang dibimbangi.

Katanya, jangan disebabkan tidak mahu mengundi calon, ahli-ahli di peringkat bawah berpecah. Itu yang cuba ditangani dengan baik.

“Mungkin keputusan kita tidak selaras dengan keadaan yang diharapkan tapi permuafakatan itu penting sama ada di Kalabakan, Sindumin dan Labuan, kerjasama kita perlu ada kebulatan. Maka, mulai hari ini semua jentera perlu bersatu dan berpadu. BN sudah cukup memerintah Sabah, Umno sudah perintah dan kita masih dalam keadaan daif,” jelasnya.

Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri Senallang ini berkata, perubahan perlu dilakukan demi masa depan Sabah.

Dalam pada itu, Mohd Shafie mengingatkan jentera Warisan Plus agar memberi keutamaan kepada kehendak rakyat dalam pilihan raya kali ini.

“Kita kena faham dan tahu, pilihan raya ini bukan kehendak kita semata-mata perlu kita utamakan, kehendak rakyat di negeri Sabah ini yang perlu kita utamakan.

“Tidak akan ada yang akan pernah puas (hati) mengenai calon. Penting bagi kita, kita ada jelas dalam pemikiran kita, pilihan raya ini kita mahu pastikan kuasa balik kepada kita dalam perjuangan ini.

“Untuk memungkinkan kita boleh berkuasa balik ialah kerjasama kita, In God We Trust, Unite We Must (Percaya Kepada Tuhan, Kita Perlu Bersepadu) dan bukannya In Party We Trust, Devide We Must (Percaya kepada Parti, Kita Perlu Berpecah).

“Penting bagi kita untuk melawan menentang UMNO, BERSATU,LDP, SAPP,” ujarnya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *