COVID-19: Kira-Kira 100 Tampil Jalani Ujian Saringan Di Tawau

Dr G Navindran

TAWAU: Semua individu terbabit dalam perlawanan bola sepak di Padang Penjara Tawau dan Padang Stadium Majlis Perbandaran Tawau (MPT), baru-baru ini, perlu melakukan ujian saringan COVID-19 dengan segera jika masih belum berbuat sedemikian.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr G Navindran, berkata setakat tengah hari tadi, kira-kira 100 individu telah hadir ke pusat saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Tawau, Kubota, untuk menjalani ujian berkenaan selepas diarahkan berbuat demikian, semalam.

“Saringan dilakukan sejak jam 8 pagi tadi dan pusatnya dibuka hingga jam 5 petang ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam, Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau mengeluarkan notis meminta semua pemain, penonton dan mereka yang terbabit dalam pertandingan bola sepak sembilan sebelah pada 28 dan 29 Ogos serta 2 September di Padang Penjara Tawau dan 30 serta 31 Ogos di Padang Stadium MPT supaya menjalani ujian saringan COVID-19.

Menurut notis itu, individu terbabit boleh menghubungi 019-6053475 atau 016-4729314 jika ada sebarang pertanyaan.

Mereka digesa tampil membuat saringan kesihatan itu susulan seorang pengadil perlawanan bola sepak terbabit yang juga pegawai di Penjara Tawau, didapati positif COVID-19, semalam. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *