SPRM Nafi Sekat Lim Guan Eng Masuk Ke Sabah

Lim Guan Eng ketika disoal petugas SPRM di Sabah. Foto FB Lim Guan Eng.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki menegaskan agensi berkenaan tidak pernah menyekat bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng daripada melakukan perjalanan ke mana-mana negeri di Malaysia.

Beliau berkata mungkin berlaku kekhilafan ketika Lim tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, semalam sehingga menyebabkan Setiausaha Agung DAP itu ditahan kira-kira setengah jam.

“Itu mungkin berlaku sedikit kekhilafan kerana SPRM hanya membuat permohonan untuk menyekat Lim dari ke luar negara sahaja.

“Mungkin ada kekeliruan sedikit yang timbul di situ tapi saya tegaskan di sini, SPRM tidak pernah menyekat beliau untuk masuk ke Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Selatan di Melaka, hari ini.

Lim sebelum ini mendakwa beliau tidak dibenarkan memasuki Sabah oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah atas alasan SPRM telah meletakkan halangan untuk beliau berbuat demikian.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *