Persekutuan Jangan Sesuka Hati Buat Keputusan Imigresen – Shafie

KOTA BELUD:  Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengingatkan Kerajaan Persekutuan agar tidak membuat keputusan sesuka hati dalam menghalang mana-mana individu memasuki Sabah kerana Kerajaan Sabah mempunyai kuasa Imigresen sendiri mengikut Perlembagaan.

Mohd. Shafie merujuk kepada situasi bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang dihalang masuk ke Sabah semalam atas arahan daripada Imigresen di peringkat Persekutuan.

Katanya, jika Imigresen Persekutuan menggunakan alasan Guan Eng mempunyai kes SPRM, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga terpalit dengan rasuah tetapi beliau langsung tidak dihalang datang ke Sabah.

“Tapi ini satu perkara yang perlu diselaraskan dengan kerajaan negeri, jangan hanya Kerajaan Persekutuan membuat sesuatu keputusan kerana bidang kuasa untuk mengehadkan sesiapa juga masuk ke Sabah, kerajaan negeri ada kuasa…itu bukan daripada segi undang-undang,  itu dalam Perlembagaan.

“Saya berharap kena ada kerjasama  untuk memastikan susun atur yang ada. Kalau semua ada kes SPRM maka Najib (Datuk Seri Najib Razak) pun tidak boleh masuk, pimpinan lain pun tidak boleh masuk. Jangan peraturan ini hanya kepada satu orang tetapi kepada semua,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Mohd. Shafie, halangan terhadap Guan Eng amat mengejutkan dan beliau dimaklumkan arahan tersebut dikeluarkan di Kuala Lumpur.

Katanya, Sabah berhak menghalang mana-mana individu untuk masuk ke Sabah juka individu berkenaan mampu mendatangkan kekacauan.

“Jika ada perkara ini (memecah-belahkan atau menyebebkan pertelingkahan) kita akan pastikan mereka tidak dibenarkan masuk ke negeri ini.

“Saya sendiri terkejut dengan situasi yang di lalui Lim Guan Eng (Ahli Parlimen Bagan) dan sudah bertanyakan perkara ini kepada Pengarah Imigresen (Sabah).

“Saya kemudian difahamkan oleh kerana Guan Eng adalah individu yang dimasukkan ke dalam senarai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jadi mereka nyatakan ini peraturan yang dibuat oleh KL (Kuala Lumpur). Tapi kebiasaannya, kita pun ada peraturan Imigresen sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut Mohd Shafie berkata, Kuala Lumpur hanya boleh tentukan contohnya peraturan untuk mana-mana orang yang  didapati tidak membayar cukai dan ada kes SPRM, individu itu tidak boleh ke luar negara, dalam negara boleh.

“Tapi bila saya fahamkan, mungkin mereka maklumkan jangan pergi keluar dari Sabah ke luar negara, itu yang difahamkan,” katanya.

Tambahnya, sejak  Warisan menerajui kerajaan negeri, tiada mana-mana pemimpin disekat masuk ke Sabah.

“Dulu Tian Chua, Nurul Izzah dan Teressa Kok, tetapi bila saya ambil alih tampuk pemerintahan iaitu dua hari menjadi ketua menteri, saya kecualikan mereka.

“Jangan hanya sekat orang memasuk tapi sekat sekali duit masuk daripada mana-mana pihak khususnya yang mahu membeli undi,” tegas beliau.

Semalam, Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan dihalang oleh anggota Jabatan Imigresen ketika baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Menerusi perkongsian dalam Facebooknya pagi tadi, Guan Eng menyatakan awalnya beliau sudah melepasi pemeriksaan Imigresen dan diberikan Pas Lawatan Sosial sekitar jam 11.54 malam, sebelum didatangi seorang Pegawai Imigresen Kanan dan memintanya memasuki semula ruangan di dalam KKIA.

Beliau yang mengikuti peraturan terpaksa menunggu selama 20 minit sebelum diberitahu SPRM sudah meletakkan halangan untuk Guan Eng memasuki Sabah.

“Mengapa saya dihalang masuk ke Sabah? Ini lagi satu kes antara dua darjat, double standard kah? Sedangkan ini kuasa kerajaan negeri dan bukan kuasa kerajaan pusat. Adakah ini satu lagi usaha campurtangan pusat terhadap hak dan kuasa negeri?  Akhirnya, selepas setengah jam, saya dibenarkan masuk semula ke Sabah,” katanya di laman Facebook.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *