Guan Eng Bebas Masuk Sabah, Kata Shafie

Shafie Apdal berkata negeri itu berhak memutuskan siapa yang boleh datang ke Sabah.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal hari ini berkata, beliau terkejut apabila Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dihalang masuk ke negeri itu.

Katanya, sejak pertukaran kerajaan selepas pilihan raya umum Mei 2018, negeri itu menghapuskan larangan sebelum ini yang dikenakan kepada beberapa tokoh politik untuk memasuki Sabah.

“Saya agak terkejut sebab sejak saya mengambil alih, kita tidak melarang sesiapa memasuki Sabah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hak milik tanah di Kota Belud hari ini.

Sebelum ini, Tian Chua, Nurul Izzah Anwar dan Teresa Kok antara yang dihalang memasuki Sabah.

“Masa dulu, Tian Chua, Nurul Izzah dan beberapa lagi yang dihalang, bila saya ambil alih sebagai ketua menteri, 2 hari selepas itu, saya tandatangan (perintah) untuk kecualikan mereka (dari senarai larangan).

“Tapi, ini 1 perkara yang harus diselaraskan dengan kerajaan negeri. Jangan hanya kerajaan persekutuan membuat sesuatu keputusan kerana bidang kuasa untuk mengehadkan sesiapa juga masuk ke Sabah ini kerajaan negeri ada kuasa.

“Itu bukan dari segi undang-undang tapi dalam Perlembagaan,” katanya.

Terdahulu, Lim berkata beliau didakwa dihalang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari memasuki Sabah sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, malam tadi.

Katanya, beliau berjaya melepasi imigresen lapangan terbang itu selepas diberikan pas lawatan sosial.

Bagaimanapun, sebelum menaiki kereta seorang pegawai kanan imigresen menghampiri dan memintanya masuk semula.

Ahli Parlimen Bagan itu dibenarkan masuk semula ke negeri itu selepas setengah jam ditahan.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *