Bung, Rahman Berdamai Menjelang PRN Sabah

Bung Moktar Radin (kiri) melaga penumbuk dengan Abdul Rahman Dahlan hari ini. (Gambar Twitter)

KOTA KINABALU: Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin berdamai dengan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan menjelang Pilihan Raya Negeri bulan depan.

Ini selepas Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi memuat naik gambar 2 pemimpin itu melaga penumbuk di Twitternya hari ini.

Gambar itu disertakan keterangan daripada Zahid: “Meraikan perbezaan pendapat dan saling memaafkan, perlukan seseorang yang berjiwa besar dan sentiasa berlapang dada. Bung Moktar dan Rahman Dahlan merupakan contoh terbaik.”

Bung memberitahu FMT, perdamaian antara beliau dan Rahman, yang juga ketua Umno Tuaran, berlaku pagi tadi.

“Semuanya di bawah kawalan. Ya, mereka terima saya (sebagai pengarah pilihan raya BN Sabah),” katanya sambil menambah beliau menemani Zahid untuk lawatan ke Kimanis ketika ini.

Bulan lalu, Rahman yang mengetuai 12 ketua bahagian Umno Sabah membantah pelantikan Bung, berkata pelantikan itu tidak dibincangkan dan bertentangan autonomi penuh yang diberikan kepada Umno Sabah tahun lalu.

Kumpulan itu dalam sidang media berkata, mereka tidak mahu seorang pemimpin yang perlu menghadiri perbicaraan mahkamah atas pertuduhan rasuah untuk berkempen bagi parti itu pada PRN Sabah 26 Sept ini.

Susulan itu, Zahid dilaporkan berkata, munasabah untuk Bung yang juga pengerusi BN Sabah mengetuai kempen pilihan raya gabungan itu.

Katanya, walaupun berbeza pandangan, semua parti komponen BN perlu bersatu untuk memastikan kemenangan dalam PRN Sabah.

Bung kemudiannya dilaporkan berkata, beliau tidak mengambil hati dengan pemimpin parti yang membantah pelantikannya mengetuai BN pada PRN akan datang.

“Kita harus terus melangkah ke depan.

“Kita hormati kepelbagaian pandangan dan pendapat, tak mengapa,” kata ahli Parlimen Kinabatangan itu yang terkenal dengan telatah lucunya di Dewan Rakyat pada 22 Ogos lalu.

Sementara itu, Bung berkata, rundingan pengagihan kerusi dengan parti pembangkang lain di Sabah di peringkat akhir.

“Nampaknya kita mungkin ada penyelesaiannya.”

Bung pada 29 Ogos lalu berkata, rundingan pembahagian kerusi dengan parti lain adalah sukar, tetapi beliau berharap dapat memuktamadkan rundingan dalam 2 hari. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *