Rakyat Mahu Kerajaan WARISAN Memerintah Sabah Semula

UNGGAT

KOTA KINABALU: Kesinambungan pembangunan serta penyerahan geran tanah antara perkara yang diinginkan rakyat di peringkat akar umbi.

Kedua-dua faktor itu dilihat mampu dilaksanakan oleh kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

MATIUS

Biarpun tempoh pentadbirannya singkat, iaitu hanya 26 bulan namun, masalah pemilikan geran yang membelenggu rakyat sejak sekian lama berjaya diselesaikan. Itu antara isu yang dekat dihati rakyat yang menerima geran tanah tersebut.

Tinjauan Borneo Today di beberapa perkampungan di Sabah mendapati rakyat di peringkat akar umbi begitu menghargai apa yang sedang dilakukan kerajaan hari ini.

Matius Malasi, 48, dari Kampung (Kg) Murut Kalabakan berkata, Shafie perlu diberi peluang untuk meneruskan pemerintahan kerana masih ramai penduduk Kalabakan belum memperoleh tanah.

Katanya, separuh sahaja penduduk Kalabakan yang baru menerima geran jadi, mereka berharap kepimpinan Shafie dapat diteruskan.

“Bagi kami di Kalabakan, kami harap kerajaan sekarang dapat memerintah balik sebab kami bersyukur orang kampung dapat miliki geran tanah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengenai katak politik, Matius berharap siapa juga yang dipilih rakyat, janglah bertindak macam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sekarang kerana jika berterusan begini, rakyat yang sengsara.

NUIL GUTAL

Bagi Ngro @ Unggat Anau @ Sandalon, 68, juga berasal dari Kg Murut, Kalabakan, beliau mahu jika boleh biarlah parti tempatan seperti Warisan terus memerintah Sabah.

Katanya, beliau bukan anti parti dari Malaya tapi, kalau boleh biarlah pemimpin tempatan yang mentadbir urus negeri ini sendiri dan bukannya parti dari luar.

Tambahnya, mana-mana ADUN yang dipilih dalam pilihan raya akan datang ini, janganlah melompat parti sebab sesiapa pun yang diundi oleh rakyat, itulah yang dimahukan.

Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), Nuil Gutal,64, dari Kg Desa Aman Kundasang berkata, kesungguhan kerajaan hari ini membantu rakyat dalam pemilikan geran antara usaha yang patut dipuji.

SIMAH

“Saya secara peribadi melihat kita sebagai rakyat perlu memberi sokongan penuh kepada kerajaan yang ada sekarang.

“Malah, semasa penyaluran bantuan Covid-19, penduduk di kampung ini turut menerima bekalan makanan daripada persekutuan dan negeri. Malah, Gereja SIB di sini juga dapat bantuan yang sama. Tiada sikap pilih kasih yang diamalkan,” katanya.

Menurutnya, semua penduduk kampung di sini menerima bantuan bekalan makanan dan barangan keperluan dapur. Di sini terdapat kira-kira 65 buah rumah dengan 800 orang penduduk.

Simah Matusip, 60, dari Telupid berkata, pentadbiran Shafie selama 26 bulan ini cukup cantik dan mula memperlihatkan perubahan.

“Saya percaya jika rakyat memberi mandat sekali lagi, Sabah akan pesat membangun. Rakyat perlu bijak menyokong pemimpin parti yang begitu dekat dengan jiwa rakyat serta tahu masalah rakyat.

“Kebijaksanaan Ketua Menteri ini menerajui Sabah tidak boleh disangkal dan rakyat patut memberi mandat kepadanya sekali lagi,” ujarnya.

PIUS

Untuk Pius Daini, 48, dari Kg Liningkung Telupid, beliau melihat kesinambungan pemberian geran tanah hanya akan diteruskan di bawah kepimpinan kerajaan Warisan sekarang.

Katanya, penduduk di kampung itu masih menanti permohonan geran tanah mereka diluluskan kerana ketika ini dikatakan ada kawasan yang berlaku pertindihan permohonan.

Oleh itu, beliau berharap Shafie dapat melihat membantu mereka menerima geran tanah memandangkan pemberian geran telah dilakukan di beberapa kawasan lain di Telupid.

“Saya lihat kepimpinan yang ada sekarang begitu prihatin kepada rakyat terutama masyarakat kampung. Dalam tempoh dua tahun ini pembaharuan masih berlaku biarpun tempoh itu begitu singkat,” jelasnya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *