‘PM Doakan Perniagaan Kami Maju’

Muhyiddin ketika singgah di Restoran Nasi Manuk di Harbour Square, Sandakan hari ini.

SANDAKAN: “Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempat mendoakan agar perniagaan ini semakin maju dan mencadangkan kami membuka cawangan di Kota Kinabalu,” kata pengusaha Restoran Nasi Manuk, Mohammad Amrin, 24.

Dia yang mengusahakan restoran berkenaan di Harbour Square, Sandakan itu bersama rakan karibnya, Din Amiruddin Amirun, 23, sejak dua tahun lalu teruja dapat bercerita dengan Perdana Menteri dan lebih menggembirakan apabila beliau tiba-tiba berdoa untuk mereka.

Muhyiddin ketika singgah di Restoran Nasi Manuk di Harbour Square, Sandakan hari ini. Foto Din Amiruddin

“Beliau juga ada bertanya bagaimana kami mula berniaga dan saya ceritakan kami mula berniaga empat tahun lalu dengan modal RM1,000 sebagai peniaga bazar.

“Selepas dua tahun kami dapat sewa restoran dan membuka Restoran Nasi Manuk ini,” katanya.

Menurutnya, dia juga ditanya mengenai keadaan perniagaannya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimulakan.

“Saya ceritakan kepada beliau bahawa kami menutup perniagaan seperti diarahkan dan bila dibenar berniaga, kami mulakan perniagaan seperi biasa.

“Atas pemberian Geran Khas sebanyak RM3,000, kami mendapat keuntungan berlipat ganda kerana dapat membeli peralatan diperlukan.

“Kami bersyukur dengan geran berkenaan dan Alhamdulilllah selepas PKP keuntungan kami meningkat dan kini boleh mencecah RM54,000 sebulan,” katanya.

Menurutnya, dia sempat ditanya matlamat perniagaan mereka dan dia menyatakan ingin membuka cawangan lain dan turut berhajat menceburi perniagaan lain pada masa akan datang.

Sementara itu, Muhyiddin meminta masyarakat setempat supaya dapat berkunjung ke Restoran Nasi Manuk berkenaan.

Menurutnya, sesiapa yang belum berkunjung ke restoran berkenaan, silalah ke situ.

“Saya pergi ke tempat itu dan dijemput bersarapan walaupun saya sudah bersarapan pada 6 pagi tadi.

“Siapa sudah makan nasi manuk? Kalau tidak, pergi cuba dan saya mempromosikannya,” katanya ketika berucap di majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Sandakan hari ini.

Beliau singgah di restoran berkenaan selepas melakukan ‘walkabout’ di bandar itu dengan melawat Pasar Tamu Hujung Minggu Bandar Sandakan sebelum memulakan acara rasminya pada pagi hari ini.

Menurut Muhyiddin, beliau turut teruja apabila dapat bersembang dengan pengusaha restoran berkenaan yang terdiri daripada anak muda.

Katanya, beliau sempat bercerita dengan pengusaha restoran berkenaan dan anak muda itu berterima kasih atas bantuan ‘one-off’ yang diberikan kerajaan.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *