Pemimpin WARISAN Mahu MP Pasir Puteh Minta Maaf

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN) memberi amaran tegas kepada Ahli Parlimen Pasir Puteh agar berhenti menyentuh mengenai agama Kristian dan penganut agama lain di negara ini.

Nik Muhammad Zawawi Salleh juga diminta untuk meminta maaf kerana menyatakan kitab Injil telah diputarbelitkan dan terpesong.

Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking dengan tegas memberi amaran kepada Ahli Parlimen Pasir Puteh (PAS) agar berhenti menyentuh agama Kristian dan penganut agama lain

Beliau berkata, perlu diingatkan bahawa asas Persekutuan Malaysia adalah saling menghormati dan ia telah diterapkan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

“Rakyat Pembentukan Malaysia dan Sabah serta Sarawak setuju membentuk Persekutuan Malaysia dengan asas saling menghormati antara semua penganut agama.

“Saya ingat ketika berada di Kabinet Persekutuan, tidak ada Ahli Parlimen yang pernah mengeluarkan pandangan atau pendapat mereka mengenai mana-mana agama, sebaliknya sentiasa mencari jalan persamaan untuk Malaysia yang lebih baik.

“Kami tahu dan selalu berada di bawah tekanan oleh mereka (yang berada di luar PH ketika itu) dengan pandangan mereka yang ekstrim agar kami juga seperti mereka. Tetapi kami berjaya menentangnya kerana mempunyai semangat bahawa Persekutuan Malaysia tidak akan terbentuk tampa sokongan dan kepercayaan semua kaum di Sabah, Sarawak serta Tanah Melayu,” katanya menerusi satu kenyataannya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, sebagai orang Sabah katanya, rakyat negeri ini menaruh penuh kepercayaan kepada semua pemimpin kerajaan negeri dan Persekutuan untuk meneruskan visi Malaysia yang bebas daripada ketaksuban dan ekstrim.

“Justeru, saya mendesak semua rakyat Malaysia untuk terus tenang dan berdoa Ahli Parlimem itu (Pasir Puteh) akan memiliki kerendahan hati untuk meminta maaf,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *