Fikir Masa Depan Sabah Ketika Undi Pada PRN, Kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin menemui komuniti Bajau dalam Majlis Sepetang Bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di Kota Kinabalu hari ini. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Keputusan rakyat Sabah pada Pilihan Raya Negeri 26 Sept nanti akan menentukan hala tuju pembangunan negeri itu pada masa akan datang, kata Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Justeru, presiden PPBM itu berharap rakyat Sabah akan membuat pilihan bijak serta keputusan terbaik pada PRN.

“Sudah pasti sebagai perdana menteri yang menerajui kerajaan Perikatan Nasional (PN), saya tidak mahu Sabah tertinggal di belakang kerana Sabah menjadi komponen penting negara kita.

“Apabila pilihan raya hampir tiba ini, saya nak saudara fikir baik-baik. Saya di sini sebagai perdana menteri bertanggungjawab supaya urusan-urusan membina negara Malaysia menjadi sebuah negara maju, makmur dan berjaya (yang juga) menjadi tanggungjawab pimpinan di peringkat negeri.

“Sebab itu mungkin baik juga ada pilihan raya. Kita betulkan sedikit apa-apa keputusan… (pilihan raya) dahulu sudah selesai, (pilihan raya) akan datang ada lagi keputusan baru. Apa keputusan yang rakyat Sabah buat nanti akan menentukan hala tuju Sabah untuk masa akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Sepetang Bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ronald Kiandee yang juga naib presiden PPBM dan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin merangkap setiausaha agung PPBM.

Muhyiddin berkata, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri seharusnya sehaluan dalam membangunkan Sabah ke arah lebih mampan, selain memastikan semua inisiatif untuk rakyat dapat dilaksanakan secara berkesan.

“Sebaiknya, kerajaan persekutuan dan negeri mesti sama sehati dan sejiwa. Saya tahu Sabah ada sumber dan sebuah negeri kaya raya. Banyak khazanah belum dibugar dan dibangunkan. Sabah sebuah negeri besar.

“Saya sedar masih banyak (pembangunan) harus dilakukan di Sabah, yang mana kalau hanya diserahkan kepada kerajaan negeri saja tidak mungkin boleh selesai, kalau diserahkan kepada persekutuan saja pun tak mungkin boleh selesai, tapi kalau diserahkan kepada kerajaan negeri dan persekutuan bersama-sama berjuang, mungkin banyak masalah boleh selesai.”

Katanya, dalam situasi negara berdepan cabaran ekonomi berikutan penularan Covid-19, adalah penting urusan membela nasib rakyat terjejas akibat pandemik itu dilakukan secara bersama antara Putrajaya dan kerajaan negeri.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *