Wanita Hamil Mati Terikat

Mayat mangsa ditemui di rumah sewa di Pondok Aren, Tangerang Selatan.

JAKARTA: Wanita dipercayai hamil ditemui mati dalam keadaan terikat dan tidak berpakaian di dalam kotak kadbod di rumah sewa yang terletak di Pondok Aren, Tangerang Selatan pada Selasa lalu.

Mayat mangsa ditemui berlumuran darah selepas penduduk sekitar menghubungi polis kerana tidak tahan bau busuk dari rumah sewa itu.

Polis mengesyaki wanita berusia 31 tahun itu menjadi mangsa pembunuhan dan dalam keadaan hamil.

Mangsa dipercayai keluar dari rumahnya di Ciledug tanpa meninggalkan pesanan kepada ibu saudaranya.

Dijelaskan pihak keluarga, mangsa baru beberapa bulan tinggal di rumah sewa itu.

Keluarga berusaha mencari wanita itu melalui telefon dan chat di media sosial, namun telefon bimbitnya tidak aktif.

“Di WhatsApp tidak jawab, telefonnya juga tidak aktif, hilang terus tanpa khabar,” katanya.

Rumah berkenaan disewa lelaki berusia 31 tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan dan tinggal bersendirian.

Pada hari sama, jiran di kawasan itu mengaku terhidu bau busuk dari rumah berkenaan.

Mereka menghubungi polis dan siasatan dilakukan sebelum menemui seorang wanita dalam keadaan tanpa pakaian malah mayatnya dibungkus kain hitam dan selimut serta diikat pita pelekat.

Jurucakap polis daerah itu, Muharram Wibisono Adipradono mengesahkan penemuan mayat wanita itu.- Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *