Parti Bawa Agenda Pembaharuan Bakal Tawan Hati Rakyat

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan

KOTA KINABALU: Parti politik yang menawarkan agenda pembaharuan di Sabah mempunyai kelebihan untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata parti politik yang turut menyokong agenda menjurus kepada nilai kejujuran dan lebih terbuka turut memiliki kelebihan dipilih rakyat.

“Parti yang teguh menyokong agenda ketelusan, keterbukaan dan kebertanggungjawaban juga mempunyai kelebihan dalam PRN Sabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO bahagian Tuaran berkata, terlalu banyak parti berhasrat mahu bertanding, selain personaliti politik lama dan baharu yang menawarkan diri sebagai calon pada PRN kelak.

“Sudah tentu pengundi akan melihat kepada tawaran mengenai pekerjaan, dasar ekonomi dan perniagaan, selain pengalaman, rekod ideologi politik serta agenda pembaharuan sesebuah parti politik.

“Oleh itu, kita jangkakan pengundi kali ini lebih cerewet dalam membuat pilihan,” katanya.

PRN Sabah diadakan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 30 Julai lalu, dengan sebanyak 73 kerusi akan dipertandingkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 September ini sebagai tarikh penamaan calon manakala hari pengundian biasa pada 26 September.- Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *