Lelaki Bakal Berdepan Penjara Seumur Hidup

BEAUFORT: Seorang lelaki bakal berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup selepas didapati memiliki syabu sebanyak 36.16 gram dalam satu serbuan di Kampung Klias Kecil, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.05 malam itu, lelaki berusia 29 tahun terbabit turut didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, serbuan dibuat di sebuah rumah tidak bernombor oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.

Katanya, hasil pemerhatian mendapati sebuah kereta Proton Waja yang dipandu suspek tiba di lokasi dan polis bertindak memperkenalkan diri sebelum suspek melarikan diri sehingga berlaku pergelutan.

“Suspek kemudian berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan menemui beg sandang berwarna hitam yang dibuang suspek ketika cuba melarikan diri.

“Pemeriksaan lanjut menemui lima paket plastik berlainan saiz berisi ketulan hablur disyaki syabu sebanyak 34.27 gram dan pemeriksaan pada

badan suspek turut menemui satu paket plastik juga berisi syabu yang disimpan dalam poket seluar suspek dengan berat 1.89 gram,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, suspek dan dadah yang dianggarkan bernilai RM2,700 dibawa ke IPD Beaufort untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

“Hasil ujian air kencing pada suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphethamine.

“Suspek juga didapati mempunyai kesalahan lampau dibawah Seksyen 39 C (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *