Kerajaan Sedia Pertimbang BPN 2.0

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia mempertimbangkan permintaan untuk melaksanakan Bantuan Prihatin Nasional 2.0, bergantung kepada kedudukan kewangan.

Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah berkata, kerajaan harus melihat keadaan kewangan semasa bagi tujuan itu.

“Jika kerajaan berpandangan ada keperluan untuk dilaksanakan pada masa depan, InsyaAllah kita akan laksanakan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian).

Dalam soalan lain, Mohd Shahar berkata, masalah senarai nama Orang Kurang Upaya yang menerima bantuan Penjana akan selesai dengan insiatif pemetaan nama oleh agensi kerajaan.

Menurutnya, ketika ini Unit Perancang Ekonomi dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengenal pasti mereka yang benar-benar layak mendapatkan bantuan berkenaan.

Katanya kerajaan memperuntukkan RM110 juta bantuan dan daripada jumlah itu RM55.71 juta bayaran sudah dibuat untuk OKU, RM2.88 juta kepada ibu tunggal dan RM540,000 kepada khidmat bantu di rumah.

Berhubung soalan asal Wong Shu Qi (PH-Kluang) berkaitan jumlah pemohon yang berjaya menebus e-Tunai sehingga Jun tahun ini beliau berkata, kerajaan berjaya mempromosi kepada 9.9 juta pengguna berbanding 7.41 juta ketika pemerintahan Pakatan Harapan.

“Kita tidak perlu risau mengenai privasi kerana semasa permohonan terma dan syarat tetap sama, cuma kali ini kita letakkan syarat tambahan iaitu mereka perlu menggunakan aplikasi My Sejahtera.

“Semua data peribadi tertakluk kepada Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA),” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *