Pekerja Bank Antara Dua Didenda RM5,000 Memandu Mabuk Di Tawau

TAWAU: Dua lelaki termasuk seorang pekerja bank masing-masing didenda RM5,000 dan penjara selepas mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Dalam pertuduhan berasingan, tertuduh Jason Chin Carreon, 23, dan Yong Kee Vun, 50, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Chong Thien Vun, dalam daerah Tawau, pada 23 Ogos 2020.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan, Jason yang juga pekerja sebuah bank di daerah ini, ditahan pada jam 1.15 pagi selepas didapati memandu sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Vigo di bawah pengaruh alkohol iaitu 145 miligram dalam 100 mililiter darah.

Manakala, Yong pula didakwa memandu sebuah Proton Wira di bawah pengaruh alkohol iaitu 105 miligram dalam 100 mililiter darah ketika ditahan di lokasi dan tarikh yang sama pada jam 1.20 pagi.

Pihak pendakwaan mendapati kandungan alkohol dalam badan tertuduh melebihi had yang dibenarkan iaitu sebanyak 80 miligram bagi setiap 100 mililiter darah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda antara RM1,000 hingga RM6,000 dan boleh dipenjara sehingga 12 bulan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya meminta mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana menyesali perbuatan mereka.

Bagaimanapun,  Pegawai Pendakwa Trafik Asisten Superintenden Joan Lee memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran selain mengambil kira kepentingan awam.

Joan dalam hujahnya menegaskan perbuatan tertuduh memandu dalam keadaan mabuk bukan saja membahayakan dirinya tetapi juga mengancam nyawa pengguna jalan raya lain sekiranya berlaku kemalangan.

Tambahan pula, kes kemalangan akibat pemanduan mabuk semakin meningkat di seluruh negara termasuk di Tawau.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Amir Shah Amir Hassan kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000, gagal bayar penjara lima bulan dan tiga bulan penjara ke atas Jason.

Bagi Yong pula, mahkamah menetapkan hukuman denda RM5,000, gagal bayar penjara lima bulan dan dua bulan penjara.

Amir Shah menetapkan hukuman penjara ke atas Jason dan Yong berkuatkuasa hari ini.

Terdahulu, Amir Shah menjelaskan walaupun kerajaan tidak menghalang warganya daripada minum alkohol, namun, tindakan memandu dalam keadaan mabuk adalah satu kesalahan berat dan tidak dibenarkan.

Dalam hal ini, setiap warga negara Malaysia masih tertakhluk kepada perundangan negara.

Justeru, dalam penghakimannya, Amir Shah menjelaskan hukuman berat perlu dikenakan ke atas tertuduh kerana kepentingan awam mengatasi kepentingan tertuduh.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *