Lelaki Maut Dihempap Pokok Di Luyang

KOTA KINABALU: Seorang pekerja kontrak maut selepas dihempap pokok yang dipotongnya sendiri, dalam kejadian di Jalan Penempatan, bersebelahan tangki besar simpanan air Luyang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa Rainoid Mesayun, 18, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya menerima maklum kejadian menerusi panggilan kecemasan MERS999.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian mendapati, seorang lelaki dalam keadaan terbaring dengan kecederaan di kepala dipercayai dihempap pokok.

“Menurut saksi kejadian, mangsa sedang memotong pokok seorang diri. Bagaimanapun, sebaik menyedari pokok berkenaan hampir tumbang, mereka terus menjerit mengarahkan mangsa melarikan diri.

“Namun katanya, mangsa lari ke arah yang salah dan terus dihempap pokok besar berkenaan,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, akibat daripada kejadian berkenaan, mangsa parah dan terus tidak sedarkan diri di tempat kejadian.

Katanya, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Dr Farah Yee dari Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) pada jam 12.32 tengah hari.

“Mayat mangsa dibawa ke bilik mayat Hospital Queen Elizabeth 1 untuk tujuan SWAB covid -19 dan bedah siasat.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.- AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *