JHL Terima Laporan Buaya Di Projek Lapangan Terbang Sandakan

SANDAKAN: Jabatan Hidupan Liar belum menerima laporan mengenai kemunculan terbaharu buaya di tapak projek pembesaran landasan Lapangan Terbang Sandakan, di sini.

Pegawai Hidupan Liar Sandakan, Hussien Muin, berkata pihaknya hanya menerima laporan mengenai seekor buaya pada awal tahun ini dan pemeriksaan sudah dibuat di kawasan berkenaan, namun reptilia itu belum ditemui.

Katanya, berdasarkan laporan penilaian kesan alam sekitar, tapak projek itu adalah kawasan tanah nipah yang diketahui adalah habitat spesies buaya.

“Kita harap jika ditemui semula di dalam kawasan pelaksanaan projek, pihak berkaitan lapor segera.

“Ia bagi membolehkan kerja menangkap dan memindahkan buaya dapat dilakukan segera,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, beberapa keping gambar menunjukkan seekor buaya tular menerusi WhatsApp dengan mesej mendakwa reptilia berkenaan banyak ditemui di tapak projek pembesaran landasan Lapangan Terbang Sandakan.

Pada Mei lalu, satu video turut tular menunjukkan seekor buaya cuba melawan sebuah jengkaut dengan kejadian turut dipercayai berlaku di tapak projek berkenaan.

Spesies buaya adalah termasuk dalam Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Berdasarkan Seksyen 38(6) enakmen itu, adalah menjadi suatu kesalahan jika gagal memberikan apa-apa pemberitahuan dan jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak kurang RM100,000 dan tidak lebih RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *