Disangka Hamil, Rupa-Rupanya…

Gambar dimuat naik Siobhan Mulvey yang menimbulkan salah faham dan pertikaian warganet.

MANCHESTER: Seorang gadis disangka hamil oleh rakannya selepas memuat naik gambar memegang beg bimbit dengan corak kelihatan seperti salinan imbasan ultrasound kehamilan.

Mirror UK melaporkan, salah faham itu tercetus selepas Siobhan Mulvey memuat naik gambar berkenaan di akaun Snapchat dan Twitter miliknya dengan kapsyen ‘jom mabuk’,

Namun, lain pula jadinya apabila banyak kiriman mesej diterima Mulvey daripada rakannya yang mahu mendapatkan kepastian sama ada dia benar-benar hamil.

Ia kerana kedudukan Mulvey di dalam gambar yang seolah-olah memegang salinan ultrasound kehamilan di atas kepala sedangkan ia hanya beg kepunyaannya.

Segelintir warganet pula memintanya membuang gambar berkenaan di Twitter kerana menyifatkannya cuma mencari perhatian selain mengecam perbuatannya mengambil minuman alkohol ketika hamil.

“Gambar itu diambil sebelum saya sekeluarga keluar makan tengah hari sempena menyambut ulang tahun kelahiran kakak yang ke-30.

“Saya muat naik gambar di laman sosial kerana merasakan ia cantik dan tidak berfikir langsung untuk meraih perhatian sesiapa.

“Lagipun, saya tidak mempunyai ramai rakan di platform itu tetapi ramai pula yang salah sangka dan menganggap saya mahu mengumumkan berita kehamilan,” katanya.

Mulvey berkata, dia tidak sangka gambar dimuat naiknya itu boleh menimbulkan pertikaian dalam kalangan warganet.

“Apa yang berlaku membuatkan saya ambil keputusan membuang beg itu kerana menjadi punca berlakunya semua ini,” katanya.- Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *