PRN Sabah: Empangan Papar Beri Kelebihan Kepada PN

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Isu pembinaan Empangan Papar dijangka memberi kelebihan kepada pembangkang untuk menawan kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Limbahau di Papar pada Pilihan Raya Negeri (PRN), bulan depan.

Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Johnny Mositun, berkata isu itu akan dijadikan modal kempen bagi memastikan pengundi di Limbahau menolak calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) atau sekutunya.

Beliau yang juga Ketua Penaja PBS Bahagian Limbahau berkata, rakyat Papar khususnya di Limbahau tidak bersetuju tindakan kerajaan WARISAN meneruskan projek itu.

“Penduduk membantah projek itu kerana mereka bimbang ia akan menjejaskan alam sekitar dan kehidupan.

“Penduduk marah kepada kerajaan, jadi kita melihat ia peluang memastikan rakyat Limbahau menolak calon parti pemerintah pada PRN nanti,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Projek Empangan Papar dianggarkan menelan kos RM3 bilion pada asalnya dicadang di hulu Sungai Papar dalam DUN Moyog di Penampang dan dinamakan Empangan Kaiduan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), WARISAN yang ketika itu pembangkang, menyokong bantahan disuarakan penduduk yang bimbang kehilangan tanah hak adat jika Empangan Kaiduan dilaksanakan.

Selepas menjadi kerajaan, WARISAN tidak membatalkan projek itu, sebaliknya memindahkannya ke kawasan Papar dan menukar nama kepada Empangan Papar dengan alasan ia perlu bagi membekalkan air mencukupi di ibu negeri dan sekitarnya.

Johnny berkata, PBS sudah bersedia berkhidmat kepada penduduk di DUN Limbahau jika diberi peluang bertanding dan menang pada PRN 26 September depan.

“Walaupun kawasan ini baharu, PBS sudah lama turun padang mendekati rakyat dan melihat masalah mereka sejak pembentukan DUN baharu diluluskan DUN Sabah pada 2016,” katanya.

DUN Limbahau dibahagikan kepada sembilan Pusat Daerah Mengundi (PDM), iaitu Limbahau, Surati, Rampazan, Dambai, Biau, Gana, Ovai, Kaiduan dan Labak dengan 85 peratus pengundinya ialah Kadazandusun Murut (KDM).

PBS sebelum ini menyuarakan hasrat bertanding di kerusi baharu itu mewakili gabungan Perikatan Nasional (PN).- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *