Polis Siap-Siaga Hadapi Kes Cubaan KFR Di ESSZone Penjelang PRN

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali

KOTA KINABALU: Polis bersiap-siaga menghadapi sebarang kemungkinan menyedari kekerapan kes cubaan culik dan tebusan (KFR) berlaku di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) setiap kali musim pilihan raya menjelang tiba.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, risikan-risikan polis, tentera dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) termasuk Bukit Aman bekerja keras memantau perkembangan semasa bersama.

“Risikan kita ada hubungan baik dengan risikan Selatan Filipina dan Indonesia menerusi perjanjian kerjasama trilateral (pemantauan bersama situasi di sempadan),” katanya.

Hazani berkata demikian selepas ditanya persiapan polis menghadapi ancaman kumpulan KFR yang kerap aktif semasa perayaan besar diraikan di Sabah, di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya mengambil serius hal itu dan mengakui terdapat kes cubaan KFR menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) yang berlangsung pada 2018.

“Pada masa itu, kita ada mengesan satu kes cubaan KFR dan berhasil memburu mereka serta menembak beberapa suspek yang disyaki anggota kumpulan KFR,” katanya.

Pada masa sama, beliau yang juga bekas Komander ESSCom bertekad untuk terus komited memastikan tidak ada anasir oportunis menceroboh masuk perairan negara.

Menurutnya, polis akan terus menjalin kerjasama yang amat baik dengan semua elemen khasnya ESSCom untuk mengukuhkan lagi kawalan dan keselamatan di ESSZone.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *