Pembahagian Projek Secara Rundingan Terus Adalah Lumrah, Perkara biasa – Guan Eng

KUALAL LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng menyifatkan kelulusan bagi beberapa projek secara rundingan terus ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) adalah lumrah dan perkara biasa.

Menurutnya, dalam beberapa keadaan, keputusan perlu dibuat tanpa melalui tender atas beberapa faktor termasuk keselamatan.

Katanya, keputusan yang diambil itu mengikut garis panduan permohonan secara rundingan terus dan ia mengikut apa yang dijanjikan di dalam manifesto pilihan raya.

“Kementerian Kewangan PH mengamalkan sistem tender terbuka, selaras Janji 23,manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) iaitu ‘kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus terutamanya bagi projek besar.

“Jelas di sini, tidak disebut bahawa tidak boleh menggunakan kaedah rundingan terus dalam keadaan tertentu,” katanya ketika sidang media di Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, projek rundingan terus di zaman PH hanya mewakili enam peratus daripada keseluruhan nilai pembangunan atau 1.4 peratus berbanding keseluruhan perolehan.

Semalam, Dewan Rakyat gamat selepas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan sebanyak 101 projek membabitkan nilai perolehan RM6.61 bilion secara rundingan terus sepanjang 22 bulan PH mentadbir negara.

Ketika mencelah, Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa keseluruhan projek terbabit tidak pernah dibentangkan ke Kabinet sebelum ini.

Mengulas mengenainya, Guan Eng berkata, bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu sudah lupa daratan dan pakar kelentong. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *