10 Terselamat Selepas Rumah Didiami Roboh

Keadaan rumah roboh dalam kejadian di Kampung Palakat, Sipitang.

SIPITANG: Sepuluh penghuni termasuk tiga kanak-kanak nyaris terperangkap selepas rumah mereka roboh dalam kejadian di Kampung Palakat, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, semua mangsa berjaya keluar dari rumah dan terpaksa menumpang tidur di rumah ketua kampung berkenaan.

Keadaan rumah roboh dalam kejadian di Kampung Palakat, Sipitang.

Menurut penghuni, Asmah Misil, 57, ketika kejadian dia terdengar bunyi kuat zink sebelum rumah berkenaan roboh berikutan keadaan tiang rumah yang sudah usang.

“Ketika kejadian kami semua ada di dalam rumah, tiba-tiba saya terdengar bunyi seperti letupan kuat dari zink dan tiba-tiba rumah kami sudah ‘terduduk’.

“Mujur tiga cucu saya yang berusia antara satu hingga lima tahun selamat dalam kejadian itu dan kami segera keluar dari rumah kerana bimbang kayu di bahagian bumbung jatuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Asmah berkata, akibat kejadian itu, hanya beberapa barangan elektrik dan sebuah motosikal anaknya dapat diselamatkan.

“Mesin jahit dan beberapa barangan lain rosak akibat terhimpit dalam runtuhan itu,” katanya.

Sebelum itu, Asmah berkata, rumah itu didiami mereka sejak berpuluh tahun yang lalu dan keadaannya memang sudah usang.

“Saya sebenarnya dalam usaha memohon untuk mendapatkan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan kebetulan suami pula baru-baru ini meninggal dunia.

“Jadi kami sekeluarga terpaksa bertahan untuk tinggal di rumah itu sementara menunggu bantuan rumah. Tetapi dengan kejadian ini, diharap permohonan akan dipercepatkan kerana sudah tiada tempat tinggal,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sipitang, Janil Jaya berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.33 pagi tadi berhubung kejadian itu.

“Sepasukan anggota bersama jentera dikejar ke lokasi yang terletak tujuh kilometer dari balai.

“Sebaik tiba, terdapat sebuah rumah jenis sementara roboh dan kerja menyelamat iaitu mengeluarkan sebuah motosikal, barang peribadi serta anak kucing yang terperangkap dalam rumah segera dilakukan,” katanya.

Janil berkata, operasi ditamatkan pada pukul 11.50 selepas keadaan selamat.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *