Tiada Kejadian Culik Berlaku Di Inanam, Hanya Salah Faham

Kejadian yang tular di media sosial berhubung kejadian culik di Kampung Warisan, Inanam, semalam, adalah tidak benar.

KOTA KINABALU: “Tiada sebarang kejadian culik dilaporkan berlaku di Kampung Warisan, Inanam, seperti yang tular di media sosial sejak semalam. Sebaliknya kejadian hanya salah faham,” tegas Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji.

Menurutnya, hasil siasatan polis mendapati, kejadian salah faham itu berpunca daripada dua beradik berusia 9 dan 14 tahun yang berjalan pulang kira-kira jam 6.30 petang.

Katanya, sebuah van berwarna putih yang melalui jalan berkenaan dikatakan berhenti menegur kedua-dua kanak-kanak terbabit kerana menghalang jalan dan mengarahkan mereka segera pulang ke rumah.

“Bagaimanapun, salah seorang kanak-kanak terbabit panik sebelum terus lari ke dalam rumah dan memberitahu ahli keluarga bahawa adiknya cuba diculik.

“Keluarganya yang panik terus keluar dari rumah untuk memeriksa keadaan, namun kanak-kanak terbabit masih ada dan van berkenaan pula sudah tiada di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan kanak-kanak terbabit juga berada dalam selamat.

Sehubungan itu, Habibi menasihati orang ramai supaya sentiasa memeriksa sebarang kejadian sebenar sebelum menularkan sebarang berita atau kenyataan di laman sosial.

Katanya, ia bagi mengelakkan timbul kegusaran awam sehingga boleh mencetuskan huru hara dan panik terutamanya dalam kalangan ibu bapa. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *