PRN Sabah: WARISAN ‘Pelawa’ Sekutu Guna Satu Logo

TAMPARULI: “Penggunaan satu logo sebenarnya merujuk kesepakatan di bawah satu perjuangan,” kata Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau memberi reaksi itu sebagai cadangan untuk mengajak parti sekutu Warisan menggunakan satu logo menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September depan.

Mohd Shafie berkata, cadangan itu boleh dilaksanakan antara Warisan bersama parti dalam Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), namun tiada paksaan untuk menerimanya.

“Apa yang berlaku ketika pilihan raya (Pilihan Raya Umum ke-14) di Semenanjung baru-baru ini, DAP tidak menggunakan logo ‘roket’ dan semua parti komponen menggunakan logo PKR.

“Di sana, mereka boleh melakukan pengorbanan. Mengapa kita tidak boleh melakukannya di Sabah? saya tidak mahu memaksa tetapi apa yang penting adalah untuk menunjukkan kami (parti sekutu) boleh bersatu.

“Parti lain boleh melakukan ‘pengorbanan’ untuk menggunakan logo PKR, kenapa tidak boleh melakukan perkara sama (berkorban) di Sabah?” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah di tapak pembinaan bangunan tiga tingkat Sekolah Menengah Advent Tamparuli, Tuaran, hari ini.

Turut hadir, Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Bagaimanapun, Mohd Shafie berkata, cadangan menggunakan satu logo bagi Warisan dan parti sekutunya pada PRN Sabah itu nanti hanya sekadar cadangan.

“Ia sekadar cadangan sahaja dan saya tidak suka memaksa orang untuk menerimanya tetapi apa yang lebih penting adalah menunjukkan kami (parti sekutu) boleh bersatu, di bawah satu bumbung.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *