Sarifuddin Mahu Pembangunan Kampung Pasir Putih Diteruskan

TAWAU: Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai Sarifuddin Hatta berharap pembangunan Kampung Pasir Putih diteruskan pada masa akan datang demi kesejahteraan masyarakat di situ.

Ketua Bahagian Kalabakan Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata kampung tersebut bakal berada dalam kawasan Tanjong Batu berikutan perubahan bilangan kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Sebelum ini, kampung berkenaan di bawah tanggungjawab DUN Merotai.

“Justeru, saya merasa sedikit ralat apabila Pasir Putih bakal berada di bawah pengurusan DUN Tanjong Batu kelak,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Kempen Kesedaran Covid-19 Kampung Pasir Baharu anjuran Pertubuhan Komuniti Kampung Pasir Putih Baharu (PENGGIAT), di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Kampung Pasir Putih Baharu Ruddin Paita dan Pengerusi Program PENGGIAT Kasruniyati Rully.

Tambah Sarifuddin, ketika ini beberapa janji Warisan terhadap penduduk Pasir Putih berjaya dilaksanakan termasuk penurapan jalan kampung dengan kos keseluruhan bernilai RM200,000 yang kini sedang dalam pelaksanaan.

“Sebenarnya banyak perancangan sudah dilakukan dan hendak dilaksanakan mengikut keperluan rakyat dan bajet.

“Bagaimanapun, perkara itu tertangguh berikut situasi politik negara termasuk di Sabah,” katanya.

Menurutnya, projek itu bukanlah baru dilakukan kerana sudah melalui proses perancangan seawal menjadi Kerajaan Negeri, dua tahun lalu.

Justeru, Sarifuddin berharap agar siapa pun pengganti yang dipilih rakyat, dapat membela pembangunan Pasir Putih seperti yang diharapkan penduduk.

Mengulas mengenai program kesedaran Covid-19, Sarifuddin memuji usaha yang dilakukan PENGGIAT dalam memastikan pendidikan mengenai penjagaan kesihatan disampaikan kepada penduduk kampung.

Sementara itu, Kasruniyati ketika ditemui menjelaskan PENGGIAT sangat komitmen membantu masyarakat untuk memahami lebih mendalam mengenai isu Covid-19 yang sedang melanda dunia.

“Walaupun sudah banyak pendedahan dilakukan menerusi media massa, PENGGIAT melihat keperluan untuk pendedahan secara langsung kepada penduduk.

“Oleh itu, menerusi program ini, kami turut mengadakan ceramah dari Pejabat Kesihatan Daerah, kempen derma darah dan sebagainya bagi membolehkan penduduk memahami lebih jelas mengenai pandemik Covid-19,” katanya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *