PRN Sabah: Ambil Serius SOP!

PUTRAJAYA: Norma baharu dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) adalah antara keutamaan dan mesti diambil serius oleh semua pihak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bulan depan bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom, berkata penambahbaikkan terhadap SOP pengendalian pilihan raya dalam situasi COVID-19 akan dilakukan berasaskan keadaan semasa di Sabah yang menyaksikan pilihan raya negeri ke-16 membabitkan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan.

Berbekal pengalaman mengendalikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini, Pahang pada awal Julai dan Slim, Perak pada 29 Ogos sewaktu negara berdepan wabak COVID-19, beliau berkata SPR giat melakukan persiapan bagi mengendalikan pilihan raya mengejut Sabah dengan memastikan protokol kesihatan dan keselamatan bagi proses pilihan raya itu berjalan lancar.

“Di Sabah mungkin berbeza… hari penamaan calon belum tiba lagi dan kita tiada kuasa lagi ketika ini. Apabila kempen bermula, ia akan berbeza berasaskan situasi di Sabah sendiri. Saya harap rakyat sedar bahawa ketika ini paling penting adalah keselamatan orang ramai,” katanya dalam wawancara bersama Bernama di sini.

Azmi berkata aspek terpenting adalah calon, jentera parti serta pengundi mengutamakan keselamatan kesihatan dan kebersihan semasa menunaikan tanggungjawab demokrasi itu.

“Saya ingin tekankan di sini, bagi calon terbabit, SOP yang ada sekarang adalah terhad dari segi bilangan orang yang boleh datang mendengar ceramah, tempat ceramah juga mesti boleh dikawal. Ada pemeriksaan suhu orang ramai, nama dicatatkan bagi memudahkan pengesanan kontak.

“Maksimum 250 orang berasaskan keluasan tempat. Kalau tempat itu kecil bermakna bilangan (yang hadir) juga kecil. Tidak boleh bersalam dan berpeluk dengan orang ramai. Rombongan besar-besaran seperti dulu tidak dibenarkan. Ini adalah norma baharu bagi setiap calon apabila mereka berkempen. Selagi COVID-19 masih ada, kita perlu prihatin,” tegas beliau.

PRN Sabah ditetapkan pada 26 September, manakala hari pencalonan pada 12 September dan pengundian awal pada 22 September dengan sejumlah 1.12 juta pemilih berdaftar layak mengundi.

Bagi melancarkan hari pengundian, Azmi berkata SPR akan mengedar kad pengundi kepada semua pemilih berdaftar, yang antara lain mengandungi maklumat nama pengundi, pusat mengundi, saluran mengundi serta cadangan masa yang digalakkan datang untuk mengundi.

Sambil berharap pengundi dapat menuruti syor masa untuk menunaikan tanggungjawab mereka, beliau berkata tindakan itu akan membantu mengelakkan kesesakan di pusat-pusat mengundi.

“Kita ada pengalaman di PRK Chini dan setakat ini kami bersyukur tidak ada kluster Chini dikesan COVID-19, selepas ini PRK Slim. Banyak penambahbaikan daripada aspek SOP yang dibincangkan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Menyentuh SOP bagi PRK Slim yang ditambah baik berbanding PRK Chini, Azmi berkata SPR memberi penekanan kepada kekerapan melakukan sanitasi sebaik pengundi memasuki tempat mengundi sehinggalah keluar dari kawasan mengundi.

Antara SOP berkenaan ialah, pengundi perlu mensanitasi tangan apabila mula memasuki kawasan pusat mengundi, menuju ke bilik mengundi, selepas mencelup jari dalam dakwat dan terakhir sebelum keluar dari bilik mengundi.

“Saya yakin dengan cara ini masa yang digunakan tidak akan melebihi masa biasa yang diambil SPR untuk jalankan PRK ketika tiada COVID-19. Pengalaman di PRK Chini dan PRK Slim akan digunakan di Sabah,” katanya.

Menegaskan bahawa SPR akan memastikan pengendalian pilihan raya mematuhi SOP ditetapkan MKN dan KKM serta disesuaikan mengikut keadaan semasa, Azmi berkata isu kesihatan awam menjadi keutamaan SPR.

“Kalau ada perubahan kita kena lebih tegas lagi, mungkin proses sanitasi dilakukan enam kali, mungkin kena juga pakai sarung tangan… ini adalah SOP kita dan kalau tiada perubahan yang serius, kita akan guna SOP ini di Sabah. Isu kesihatan awam ini sentiasa berubah dan kita harus berkebolehan untuk menyesuaikan dengan keadaan,” katanya.

Bagi mengendalikan PRN Sabah, yang dianggarkan memerlukan peruntukan RM186 juta, seramai 30,540 petugas dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya yang menyediakan 741 buah pusat mengundi dengan 2,540 saluran.

Azmi berkata sebanyak 332 saluran baharu disediakan termasuk saluran khusus buat lebih 12,000 warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *