Bekas Naib Presiden UPKO Sertai STAR

Bekas naib presiden Upko Abidin Madingkir mengumumkan STAR sebagai wadah baru perjuangan politiknya.

KOTA KINABALU: Bekas naib presiden Upko Abidin Madingkir mengesahkan beliau bersama kira-kira 700 penyokongnya menyertai STAR.

Katanya, beliau memilih STAR sebagai wadah baru perjuangan politiknya kerana parti yang dipimpin Jeffrey Kitingan itu sangat lantang dalam menyuarakan hak Sabah.

“Ya…memang benar saya sudah masuk STAR, saya memilih parti ini kerana perjuangan mereka terutama dalam menyuarakan hak orang Sabah seperti MA63 (Perjanjian Malaysia 1963).

“Kemasukan saya ke dalam STAR ini juga diikuti oleh kira-kira 700 penyokong saya di Paginatan serta 300 ahli Upko di Kundasang,” katanya kepada FMT hari ini.

Ketika ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Paginatan di Ranau yang dimenanginya pada pilihan raya umum lalu, Abidin berkata ia terserah kepada presiden parti untuk membuat keputusan.

“Belum pasti (mempertahankan kerusi Paginatan), itu yang saya boleh katakan ketika ini kerana ia terpulang kepada presiden untuk membuat keputusan,” katanya.

Abidin sebelum ini antara 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang keluar daripada parti dalam kerajaan Sabah bagi menyokong Musa Aman sebagai ketua menteri.

Bagaimanapun, usaha mereka gagal apabila ketua menteri Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai lalu.

Selain Abidin, 2 lagi wakil rakyat Upko iaitu Limus Jury serta James Ratib lebih awal keluar daripada parti itu dan menyatakan sokongan mereka kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Abidin yang juga bekas Datuk Bandar Kota Kinabalu membuat penampilan pertamanya pada pilihan raya umum lalu untuk bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Paginatan.

Beliau berjaya memenangi kerusi itu selepas menewaskan 4 calon lain termasuk daripada STAR dan Warisan dengan majoriti 2,066.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *