41 Pengedar & Penagih Dadah Ditangkap Di Sekitar KK

 Polis memeriksa barang mencurigakan milik salah seorang suspek semasa menjalankan operasi di sekitar ibu negeri dalam usaha membanteras kegiatan pengedaran dan salah guna dadah.

KOTA KINABALU: Polis menahan 41 suspek yang disyaki terlibat dalam pelbagai jenis kesalahan berkaitan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di sekitar ibu negeri.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, 38 tahanan warga tempatan dan tiga lagi warga asing yang berumur antara 18 sehingga 55 tahun.

“Mereka ditangkap dalam tempoh seminggu dari 15 sehingga 21 Ogos oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Kota Kinabalu,” katanya, di sini.

Habibi berkata, operasi BSJN itu dijalankan dalam usaha polis membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di sekitar kawasan ibu negeri secara berterusan.

Menurutnya, hasil serbuan terbabit seramai enam suspek ditahan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, disyaki melakukan aktiviti pengedaran dadah.

“Selain penahanan mereka yang disyaki positif dadah, kita turut menangkap 10 suspek menerusi Seksyen 12 (2) ADB 1952 kerana dipercayai memiliki dadah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata jumlah rampasan dadah keseluruhan di dalam kes terbabit seberat kira-kira 18.39 gram dan dianggarkan bernilai RM1, 839 mengikut harga semasa.

Pada masa sama, orang awam diminta menyalurkan maklumat kepada polis melalui hotline IPD Kota Kinabalu di 088529220 atau facebook Polis Daerah Kota Kinabalu.

“Usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah sentiasa diperhebat dari masa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman awam di sekitar Kota Kinabalu,” katanya.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *