Mesyuarat BERSATU Sabah, UMNO Putuskan Agihan Kerusi

TUARAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah akan mengadakan mesyuarat bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta semua parti di bawah Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat untuk memutuskan soal agihan kerusi dan persediaan menghadapi pilihan raya negeri (PRN).

Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata pihaknya boleh duduk semeja dengan pemimpin UMNO Sabah untuk merangka strategi ke arah merampas semula kerajaan negeri pada PRN bulan depan.

Hajiji berkata, pihaknya tidak berdepan masalah dengan parti itu, malah beberapa pertemuan sudah dibuat dengan kepemimpinan UMNO Sabah untuk berbincang mengenai PRN.

“BERSATU tiada masalah, kita sentiasa bekerjasama dengan UMNO dan parti lain kerana yang penting bagi kita adalah untuk mencapai kemenangan.

“Namun, saya juga berharap parti rakan supaya mengambil pendekatan bijak baik dan memuaskan hati rakyat untuk kita capai kemenangan pada pilihan raya ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan BERSATU Bahagian Tuaran Kali Pertama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada BERSATU Sabah boleh bekerjasama dengan UMNO untuk berdepan parti lawan pada PRN kali ini.

Hajiji yang juga Ketua BERSATU Tuaran berkata, perbincangan itu merangkumi isu agihan kerusi dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta parti lain yang bekerjasama di bawah Perikatan Nasional (PN).

“Bilangan kerusi pun masih kita runding tapi sebelum penamaan calon kita akan tahu. BERSATU ada pendekatan menang-menang, kita tidak boleh ambil semua kerana kita fikir juga kepentingan parti lain.

“Sebenarnya saya sudah jumpa Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin. Kita guna segala kebijaksanaan dan fikir yang terbaik untuk pilihan raya,” katanya.

Hajiji berkata, satu mesyuarat yang dihadiri BERSATU, UMNO dan BN serta semua parti di bawah PN akan diadakan dalam masa terdekat bagi memutuskan soal agihan kerusi dan persediaan lain menghadapi PRN.

Katanya, isu penggunaan bendera dan lambang parti juga masih dirunding, sama ada menggunakan satu lambang dan bendera mewakili semua parti di bawah PN atau sebaliknya.

Mengenai soal autonomi, Hajiji menjelaskan BERSATU Sabah diberi kepercayaan untuk menentukan sendiri calon dan tempat untuk bertanding pada PRN nanti.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *