Bekas Pemimpin Sasar Tempat Dalam PRN Sabah

Bekas ketua menteri, Harris Salleh, Chong Kah Kiat dan Salleh said Keruak yang mungkin bertanding dalam PRN Sabah September ini.

KOTA KINABALU: Pilihan raya negeri Sabah yang bakal diadakan September ini dijangka menyaksikan ramai bekas pemimpin kembali beraksi.

Antara tokoh yang diwarwarkan akan berbuat demikian ialah bekas ketua menteri Harris Salleh, yang teruja untuk mengetuai Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu, yang kini dikenali sebagai Usno Baru.

Harris, kini 90 tahun, umumnya dilihat telah memulakan pembangunan Sabah sewaktu beliau memimpin kerajaan Berjaya dari 1976 hingga 1985. Tempoh yang dikenali sebagai “era emas Sabah”.

Baru-baru ini Harris bercakap kepada akhbar tempatan dan ahli politik veteran itu tidak menafikan atau mengiyakan cakap-cakap bahawa beliau akan kembali ke arena politik.

Beliau bagaimanapun dilaporkan berkata, perubahan kerajaan merupakan keperluan.

“Tidak banyak kemajuan ekonomi yang dicapai selepas kerajaan Berjaya, kecuali pada masa pemerintahan (bekas ketua menteri) Musa Aman,” katanya kepada Daily Express.

“Saya tidak pasti sama ada akan menerima cabaran itu. Saya kini 90 tahun dan jika saya memutuskan untuk menerima gesaan itu dan Usno berjaya membentuk kerajaan dengan bantuan parti sahabat dalam kalangan pembangkang, maka keutamaan saya ialah membetulkan perjalanan ekonomi Sabah sebelum menyerahkan kepimpinan dalam masa setahun lebih kurang.

“Harus diakui bahawa kita menyaksikan pembangunan infrastruktur di Sabah. Tetapi infrastruktur semata-mata tanpa pembangunan ekonomi luar bandar akan menyebabkan rakyat bertambah miskin.”

Pilihan raya bagi memilih Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baru akan diadakan pada 29 September depan. 73 kerusi dipertandingkan berbanding 60 pada 2018.

Seorang lagi bekas ketua menteri yang hampir pasti akan kembali berkempen ialah Chong Kah Kiat, bekas presiden Parti Demokratik Liberal (LDP), yang sebelum ini merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang memerintah.

Chong, tokoh popular dan disenangi dalam politik negeri, enggan memberi komen apabila ditanya oleh FMT sama ada beliau akan kembali aktif berpolitik.

Bagaimanapun pun pemangku presiden Chin Su Phin mengesahkan bahawa pemimpin berwibawa itu akan mengetuia kempen parti itu sebagai sebuah parti bebas.

Beliau berkata, Chong akan bertanding di kerusi di pantai barat negeri itu.

Chong merupakan ketua menteri Sabah dari 2001 hingga 2003 sebagai sebahagian daripada sistem giliran yang diwujudkan oleh pengerusi BN Dr Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi perdana menteri kali pertama.

Pemimpin ketiga yang dijangka kembali ke arena politik Sabah ialah Salleh Said Keruak. Beliau juga merupakan bekas ketua menteri dan dikatakan sedang menimbangkan peluangnya dalam politik negeri.

Salleh, yang merupakan bekas pengerusi Umno negeri, pernah menjadi menteri komunikasi dan multimedia dalam Kabinet Putrajaya.

Beliau keluar Umno selepas pilihan raya umum 2018 dan memohon untuk menyertai PKR, tetapi mengubah fikiran kemudiannya.

Beliau memohon untuk menyertai semula Umno. Permohonannya masih tergantung sehingga kini.

Mata banyak pihak juga tertumpu pada seorang lagi bekas ketua menteri, iaitu Yong Teck Lee.

Selain itu, Musa Aman juga menjadi perhatian. Tidak jelas sama ada beliau, yang merupakan ketua menteri Sabah paling lama, iaitu dari 2003 hingga 2018, akan mempertahankan kerusinya di Sungai Sibuga.

Beliau merupakan Adun tunggal Umno dalam DUN lepas berikutan tindakan keluar parti pemimpin kanan Umno negeri pada 2018 dengan menyertai PPBM.

Tokoh lain ialah bekas speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia yang dipercayai akan kembali dengan Usno Baru.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *