TERKINI: Mahkamah Tinggi Tolak Permohonan 33 ADUN Berhubung Pembubaran DUN Sabah

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, hari ini, menolak permohonan semakan kehakiman oleh 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi mencabar keputusan membubarkan DUN Sabah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim membuat keputusan berkenaan selepas mendengar hujah peguam, Tengku Fuad Tengku Ahmad mewakili 33 ADUN yang mengemuka permohonan semakan terbabit dan hujah Peguam Besar Negeri, Brenndon Keith Soh.

Sebahagian daripada 33 ADUN Sabah tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, pagi tadi.

Shim pada 17 Ogos lalu menetapkan hari ini bagi membuat keputusan selepas isu berkenaan dibawa ke mahkamah pada 7 Ogos oleh Tengku Fuad.

Yang di-pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai dan semua ADUN terbabit memohon semakan kehakiman kesahan pembubaran berkenaan.

Tun Juhar dinamakan sebagai responden pertama, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai responden kedua, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang ketiga, manakala kerajaan Sabah sebagai yang keempat.

Pada 29 Julai lalu, 33 ADUN berkenaan diketuai ADUN Sungai Sibuga, Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *