Pilu Lihat Anak Alami Kegagalan Fungsi Usus

Muhammad Yafiq Yusuf terpaksa menggunakan kolostomi beg bagi memudahkannya membuang najis. Gambar Ihsan Sidi Gazalba.

SANDAKAN: Seorang bapa resah dengan keadaan anak lelakinya yang berusia lebih dua tahun selepas terpaksa menggunakan kolostomi beg akibat mengalami kegagalan fungsi usus.

Sidi Gazalba Syamsu Alam, 39, berkata, anak tunggalnya, Muhammad Yafiq Yusuf, menghadapi masalah berkenaan sejak lahir dan tidak boleh membuang air besar menyebabkan perut anaknya itu kelihatan kembung.

Menurutnya, Muhammad Yafiq Yusuf memerlukan kaedah manual mengeluarkan najis dengan menyedutnya menggunakan peralatan perubatan.

“Bagaimanapun, baru-baru ini, mengeluarkan najis melalui kaedah itu sudah tidak berjaya kerana anak sudah membesar.

“Makanan anak bukan lagi seperti ketika bayi dahulu dan keadaan najisnya turut bertambah sukar disedut,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sidi Gazalba Kampung Gum-Gum, Sandakan itu berkata, awal bulan ini Muhammad Yafiq tidak dapat membuang air besar selama lima hari.

“Kami membawanya ke Hospital Duchess of Kent Sandakan sebelum dipindahkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas di Kota Kinabalu dan menjalani pembedahan kolostomi semalam.

“Kini anak saya masih menerima rawatan di wad dan difahamkan selepas ini akan ada rawatan susulan,” katanya.

Katanya, dia yang hanya bekerja sebagai pemandu bas mini kini bingung memikirkan soal kewangan dalam berdepan situasi yang terpaksa dilalui anaknya itu.

“Sejak beberapa hari di Kota Kinabalu, saya terpaksa menumpang rumah rakan yang menyewa di Telipok.

“Dalam masa sama, sudah lama saya tidak bawa bas. Nasib baik ada keluarga dan rakan yang membantu dari segi kewangan.

“Semua ini ujian buat saya, Muhammad Yafiq adalah cahaya mata saya dan isteri yang pertama sejak menunggu kira-kira lapan tahun.

“Saya sangat berharap keadaannya pulih dan dapat hidup normal seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Sidi Gazalba juga merayu kepada mana-mana individu yang boleh membantu keluarganya dengan menghubunginya di talian 013-8878417.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *