Jeffrey Kecewa Mahkamah Tolak Permohonan Semak Pembubaran DUN

 Sedikit mengecewakan. Namun saya yakin, ia akan mendapat kejayaan dalam tempoh rayuan nanti. 

KOTA KINABALU: Datuk Dr Jeffrey Kitingan melahirkan kekecewaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang menolak semakan kehakiman mencabar pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibuat Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin.

Bagaimanapun, beliau yang merupakan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Ahli DUN (ADUN) Tambunan itu percaya, pihaknya akan berjaya di peringkat Mahkamah Rayuan.

Katanya, ia satu mandat yang perlu dilaksanakan sebelum pilihan raya negeri (PRN) bermula.

Beliau merupakan salah seorang daripada 33 ADUN termasuk bekas ketua menteri Tan Sri Musa Aman yang memohon kebenaran semakan kehakiman terhadap pembubaran DUN Sabah pada 30 Julai.

“Sedikit mengecewakan. Namun saya yakin, ia akan mendapat kejayaan dalam tempoh rayuan nanti, yang akan dibuat di Kuala Lumpur.

“Kita akan tunggu dan lihat keputusan di Mahkamah Rayuan minggu depan,” kata Jeffrey ketika ditemui wakil Astro AWANI di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kesiapsiagaan STAR dalam menghadapi PRN, Jeffrey berkata, jentera parti itu sentiasa bersiap sedia.

“Di peringkat parti, kita memang telah bersiap sedia,” katanya.

Terdahulu hari ini, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan 33 ADUN berkenaan untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan Yang Dipertua Negeri membubarkan DUN pada 30 Julai lalu. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *