Covid-19: Bayi Dijangkiti Menerusi Rahim Ibu

Gambar Hiasan

Stockholm: Bayi yang baru dilahirkan di sini disahkan positif Covid-19 selepas dipercayai mendapat jangkitan menerusi rahim ibunya.

Berdasarkan laporan jurnal perubatan Sweden, Dagens Medicin, kes sedemikian adalah pertama yang direkodkan di negara terbabit.

Ketua Pembedahan Pediatrik dan Penjagaan Neonatal Skane University Hospital Elisabeth Olhager berkata, bayi berkenaan kini menerima rawatan di kemudahan kesihatan di selatan Malmo.

Menerusi pemeriksaan sebelum proses kelahiran, beliau berkata, ibu bayi terbabit disahkan positif jangkitan Covid-19, namun anaknya sehingga kini tidak menunjukkan sebarang gejala yang lazimnya berlaku pada kanak-kanak seperti batuk, demam atau kelesuan.

Sehubungan itu, katanya, tiada keperluan untuk mengubah rutin harian di hospital berkenaan, meskipun wujud kes jangkitan sedemikian membabitkan bayi yang baru lahir.

“Setakat dalam pengetahuan saya, lebih banyak kelahiran dicatatkan di wilayah Stockholm dan tempat lain yang mana ibunya positif Covid-19 tetapi tiada jangkitan terhadap anak.

“Oleh itu, saya tidak rasa kita perlu membuat apa-apa perubahan terhadap rutin harian hospital, hanya kerana satu kes ini,” katanya.

Kes sedemikian dianggap jarang berlaku dalam konteks antarabangsa, memandangkan hanya beberapa orang bayi dilaporkan mendapat jangkitan selepas dilahirkan.

Kajian terbitan jurnal perubatan, Kesihatan Remaja & Kanak-Kanak Lancet, pada Julai lalu menjelaskan pemerhatian terhadap 116 ibu mengandung mendapati tiada jangkitan Covid-19 terhadap bayi direkodkan ketika dalam proses kandungan.- Agensi

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *