Lebih Baik Guna Logo Sendiri, Kata Pengasas PBS

Bekas presiden PBS Joseph Pairin Kitingan berkata simbol ‘jabat tangan’ parti itu masih sebati dengan rakyat Sabah.

KOTA KINABALU: Pengasas Parti Bersatu Sabah (PBS) Joseph Pairin Kitingan percaya prestasi parti itu akan lebih baik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan menggunakan logo sendiri berbanding logo Barisan Nasional (BN).

Bekas ketua menteri itu berkata, simbol “jabat tangan” parti itu masih sebati dalam kalangan rakyat Sabah walaupun ia kali terakhir digunakan pada 2004, hampir 2 dekad lalu.

“Saya rasa ramai orang masih suka PBS. Kami akan dapat memperoleh respons positif daripada rakyat,” katanya kepada pemberita di Penampang hari ini.

“Ini kerana PBS masih berjuang untuk orang Sabah sepanjang masa tanpa membazirkan sebarang usaha dan kami masih kuat.

“Disebabkan itu lebih baik menggunakan simbol kami sendiri supaya rakyat boleh memilih (kami). Mereka tahu apa PBS perjuangkan dan mereka tahu parti ini berjuang kepada rakyat, negeri, negara dan agama,” katanya.

PBS yang meninggalkan BN selepas pilihan raya Mei 2018, awal bulan ini memberi isyarat untuk bertanding 30 kerusi dalam PRN menggunakan simbol sendiri selepas 16 tahun.

Parti itu menang 6 daripada 13 kerusi atas tiket BN pada Pilihan Raya ke-14 (PRU14).

PBS antara parti pembangkang tempatan yang bersekutu dengan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Pairin yang bersara daripada presiden PBS pada 2018 berharap parti itu dapat mengambil alih kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan yang mana beliau kalah kepada adiknya Jeffery Kitingan pada PRU14.

Pemimpin veteran yang menubuhkan PBS pada 1985 itu menyandang kerusi berkenaan sejak 1976 sehingga beliau kalah kepada Jeffery yang mengetuai Parti Solidari Tanah Airku (STAR), dalam pertembungan 4 penjuru.

“Saya berharap PBS akan memenangi semula kerusi itu tetapi saya bukan lagi presiden PBS, jadi ia terserah kepada pucuk pimpinan (sama ada bertanding di kerusi itu),” katanya.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *