Shafie Serah Isu PRN Sabah Kepada Mahkamah, SPR

Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Shafie Apdal enggan mengulas ketika ditanya berhubung semakan kehakiman terhadap pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah di sebalik penetapan tarikh pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, mengatakan ia menyentuh bidang kuasa mereka.

“Begitu juga Tuan Yang Terutama, beliau juga mempunyai bidang kuasa tertentu,” katanya pada sidang media selepas pelancaran skim pinjaman mikro dan industri kecil dan sederhana hari ini.

Apa pun, katanya, partinya Warisan dan sekutu tetap bersedia menghadapi pilihan raya negeri.

“Ini penting bagi kita untuk menentukan hala tuju politik, pembangunan berterusan dan kemajuan di Sabah,” tambahnya.

SPR menetapkan 26 September sebagai tarikh pengundian, manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 September.

Pada hari yang sama, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan 21 Ogos tarikh keputusan sama ada cabaran terhadap pembubaran DUN boleh dibicarakan di mahkamah atau tidak.

Timbalan Pengerusi SPR, Azmi Sharom, berkata tiada sebab untuk menanggupkan penetapan tarikh pengundian, pengundian awal, dan penamaan calon kerana badan itu belum terima sebarang pemakluman daripada mahkamah.

“Sekiranya ada nanti, kita akan jawab kemudian,” katanya.

Dalam pada itu, Shafie berkata Sabah bersedia menghadapi PRN dengan menyediakan 10 juta pelitup muka dan cecair pencuci tangan.

“Kita sudah bersedia untuk SOP dan saya maklumkan kepada Jabatan Ketua Menteri untuk mengurus pembekalan pelitup muka dan ‘hand sanitizer’ berkenaan di pusat daerah mengundi dan pejabat yang mengandalikan perjalanan PRN,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa kena pastikan semua pengundi mematuhi SOP dan pelitup muka perlu diberikan kepada pengundi yang tiada pelitup muka.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *