Bung Moktar Ketuai Jentera BN Hadapi PRN Sabah

Bung Moktar Radin ialah ketua BN dan Umno Sabah.

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Ketua BN dan Umno Sabah, Bung Moktar Radin akan mengetuai jentera parti itu menghadapi Pilihan Raya Negeri pada 26 Sept ini.

Susulan itu, katanya, BN dan Umno Sabah diberikan kuasa penuh untuk mengadakan rundingan pembahagian kerusi dengan parti politik di negeri itu.

Beliau berkata, BN Sabah juga diberi kuasa autonomi untuk menentukan calon 73 kerusi Dewan Undangan Negeri selepas rundingan pengagihan kerusi selesai.

“Keputusan juga diserahkan untuk memilih ketua menteri dalam kalangan Adun apabila mendapat kemenangan dengan majoriti mencukupi bagi pembentukan kerajaan negeri yang baru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zahid berkata, kuasa autonomi yang diberikan kepada BN Sabah disahkan Perhimpunan Agung Umno tahun lalu.

“Justeru, untuk merealisasikannya, saya selaku pengerusi BN dan presiden Umno dengan ini menyerahkan kepada seluruh jajaran kepimpinan BN dan Umno Sabah menggunakan kebijaksanaan dan strategi untuk menterjemahkan kuasa autonomi yang diberikan.”

Pada 30 Julai, Ketua Menteri, Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan kepada PRN selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Negeri, Juhar Mahiruddin.

Pembubaran DUN Sabah itu susulan dakwaan Musa mempunyai majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri baru.- FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *