Perintah Berkurung Di ESSZone Dilanjut Hingga 2 September

KOTA KINABALU, 17 Ogos: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir pada 6 petang esok dilanjutkan sehingga 2 Sept ini, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass.

Katanya, perintah berkurung yang diisytiharkan dari 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Menurutnya, perintah berkurung itu dilanjutkan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing di pulau-pulau peranginan.

“Maklumat mendedahkan, kumpulan yang menjalankan kegiatan menculik untuk wang tebusan (KFR) dari selatan Filipina termasuk Kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zaini berkata perintah itu sekali gus bagi memudahkan penguatkuasaan serta pemantauan terhadap pergerakan bot selain menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet selain nelayan dengan kehadiran kapal anggota keselamatan di sekitar kawasan terlibat.

Susulan itu, katanya komuniti di kawasan terlibat diminta berada di dalam rumah dan tidak dibenarkan memasuki kawasan perairan terbabit antara tempoh ditetapkan.

Zaini berkata, kuasa turut diberikan terhadap Ketua Polis Daerah di kawasan Perintah Berkurung bagi mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perairan berkenaan.- BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *