Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu Dikawal Ketat

KOTA KINABALU: Kawalan keselamatan di pintu utama Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, dekat sini ditingkatkan berikutan pendengaran penghujahan semakan kehakiman berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Tinjauan di pekarangan mahkamah mendapati semua laluan keluar masuk dikawal ketat pihak polis seawal jam 7 pagi tadi.

Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu dikawal ketat pasukan polis berikutan pendengaran penghujahan semakan kehakiman berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Turut kelihatan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) namun keadaan masih terkawal.

Ketika ini tiada penyokong mana-mana pihak dilihat hadir ke kawasan mahkamah.

Kenderaan awam yang cuba memasuki pagar utama diarahkan berpatah balik sekiranya tidak mempunyai urusan penting.

Petugas media juga kelihatan mula berkumpul di lokasi sama bagi membuat liputan berita berkaitan pendengaran penghujahan terbabit.

Setakat ini belum kelihatan kenderaan yang membawa Tan Sri Musa Aman atau 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain memasuki perkarangan mahkamah.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili Musa iaitu Tengku Fuad Tengku Ahmad dilihat telah tiba di kompleks mahkamah jam 8:40 pagi.

Terdahulu, Musa bersama 32 ADUN yang menyatakan sokongan ke atasnya mengemukakan permohonan semakan kehakiman menerusi firma guaman FT Ahmad dan Co pada 4 Ogos lalu.

Permohonan terbabit meletakkan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sebagai responden pertama, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selaku responden kedua, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden ketiga dan kerajaan negeri selaku responden keempat.

Sesi pendengaran penghujahan semakan kehakiman dijangka bermula jam 9 pagi ini.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *