Dua Warga Filipina Didenda Rm80,000

Abdul Milin (dua kanan) bersama Komal didenda RM80,000.

TAWAU: Dua pendatang asing tanpa izin warga Filipina masing-masing didenda RM80,000 selepas mengaku bersalah memiliki barangan kawalan bersubsidi di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Tertuduh Abdul Milin Milning, 40, dan Komal Timbassal, 25,yang berada di kandang tertuduh hanya menganggukkan kepala tanda faham ketika Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman berkenaan.

Terdahulu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 29 Julai 2020, pukul 2.10 pagi, di perairan Pulau Boheyan, dalam daerah Semporna.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan, tertuduh didakwa menyimpan barangan kawalan berjadual iaitu 1,250 liter minyak petrol dan empat tong gas LPG dalam sebuah perahu dengan nombor pendaftaran SA 3821/5/F.

Ketika ditahan, tertuduh gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran pemilikan barangan terkawal dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan  Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) termasuk dokumen pengenalan diri.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Awang Kerisnada dalam penghakimannya berkata, hukuman berat perlu dikenakan bagi kes pemilikan tanpa kebenaran barang kawalan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang lain untuk tidak mengulang kesalahan tersebut.

Sehubungan itu, kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman denda RM80,000, gagal bayar dua tahun penjara.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk proses pengusiran pulang ke negara asal.

Awang Kerisnada turut mengarahkan semua barang yang dirampas, dilupuskan mengikut perundangan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Jong Jee Leong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *