BN Cuma Bagi Geran Komunal, Bukan Geran Individu – Shafie

KOTA KINABALU: Dakwaan kononnya pemberian geran tanah kepada rakyat adalah hasil kerja keras Barisan Nasional (BN) sebelum ini hanyalah usaha untuk mengelirukan rakyat.

Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, geran yang kononnya mahu diserahkan oleh BN itu sebenarnya adalah geran komunal atau berkelompok iaitu beberapa nama diletakkan dalam satu geran.

Ketua Menteri berkata, melalui geran komunal, setiap penama tidak mempunyai hak terhadap tanah serta tidak tahu di mana lokasi tanah tersebut menyebabkan berlaku pertindihan tuntutan, malah kebanyakan tanah pula diuruskan oleh agensi atau syarikat yang dilantik.

“Perbezaan dorang tidak nampak berbanding kgeran komunal dengan geran individu  ini satu usaha Kerajaan Warisan geran tanah orang kampung bawa sampai ke katil boleh tidur bersama geran tanah.

“Geran komunal senarai sampai 20 orang tiada individu punya hak, geran komunal punya hak, kumpulan tidak boleh pinjam duit untuk bagi hutang tapi yang kita lakukan milik hak rakyat Sabah daripada kerajaan negeri Sabah kita lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parti Warisan Sabah (Warisan) Putatan di Dewan Sri Putatan hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Uda Sulai; ADUN Tanjung Aru, Datuk Junz Wong dan Ketua Bahagian Warisan Putatan, Datuk Awang Ahmad Shah Awang Sahari.

Pengeluaran geran komunal atau pemilikan tanah secara berkelompok diperkenalkan pada 2010 semasa pemerintahan Tan Sri Musa Aman.

Pendekatan tersebut bagaimanapun mendapat tentangan kerana didakwa dilaksanakan hanya bertujuan memastikan syarikat kroni BN dapat menerokai tanah dan melakukan pembalakan.

Ini kerana, geran komunal biasanya dikeluarkan di kawasan hutan dara atau belum diterokai, manakala syarikat dilantik atas alasan untuk melakukan kerja-kerja pengukuran dan pembersihan tetapi hakikatnya untuk membalak.

Mohd. Shafie berkata, atas sebab itulah sejak Kerajaan Warisan memimpin Sabah, beliau telah memansuhkan geran komunal kerana tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, pemansuhan itu adalah sebahagian daripada reformasi pentadbiran Kerajaan Sabah yang dilaksanakannya untuk memastikan dasar kerajaan selari dengan kehendak rakyat.

“Kita tukar, mana yang geran komunal kita hapuskan mana kampung yang diwartakan sebagai rizab kita keluarkan daripada rizab perkampungan, ada kampung di Tongod yang jadi rizab oleh kerajaan dahulu 40 tahun lebih jadi rizab kita keluarkan rizab, orang kampung itu sudah pun memiliki itulah perkampungan mereka bukan lagi rizab kerajaan negeri yang ada,” katanya. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *