WARISAN Sandaran Perjuangan Rakyat Sabah

Liew Vui Keong

LAHAD DATU: Pengerusi Tetap Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Liew Vui Keong berharap Warisan akan menang besar dalam pilihan raya negeri (PRN) untuk terus berjuang demi rakyat Sabah.

Tambahnya, jika mandat pemerintahan terus diberikan kepada Warisan, usaha membela hak orang Sabah seperti termeterai dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan diteruskan.

“Dalam dua tahun pemerintahan, kerajaan yang ditadbir Warisan berjaya mencapai persetujuan untuk 17 daripada 20 perkara dalam MA63.

“Laporan lengkap di bawah jawatankuasa MA63 dipengerusikan oleh mantan Perdana Menteri bersama Ketua Menteri Sabah dan Sarawak sudah siap,” katanya ketika ditemui media, hari ini.

Tambah Liew, laporan itu sepatutnya dibawa ke Dewan Rakyat pada Mac lalu, namun terbantut akibat berlaku pertukaran kuasa di peringkat Kerajaan Pusat.

“Bagaimanapun, saya difahamkan Menteri Undang-Undang yang baharu mengatakan bahawa kerajaan sedang meneliti laporan tersebut dan mereka akan sedaya upaya memastikan syor yang dicadangkan itu diteruskan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Bersih 2.0 mengenai isu pemberian geran tanah kepada rakyat, Liew berkata, ia tidak mempunyai konflik kepentingan.

“Dakwaan itu tidak berasas kerana proses untuk mengeluarkan geran ini bermula pada tahun lalu lagi.

“Pengeluaran geran itu bukan sahaja melalui kerajaan negeri tetapi juga Jabatan Tanah dan Ukur (JTU).

“Ia bagi membolehkan JTU menjalankan siasatan terperinci bagi geran yang sudah diluluskan,” katanya.

Tambahnya, penyerahan geran tanah kepada penduduk sudah dilakukan sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) hanya meneruskan usaha tersebut.

“Pemberian geran tanag itu tiada percanggahan undang-undang berlaku dan bukan untuk memancing undi.

“Apatah lagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum mengumumkan tarikh pilihan raya negeri atau penamaan calon,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *