Polis KK Gempur Sinsuran, Tahan 103 Individu

Sebahagian individu yang ditahan semasa Ops Khas di Sinsuran.

KOTA KINABALU: Polis menahan 103 individu terbabit pelbagai kesalahan sepanjang Ops Khas IPD Kota Kinabalu yang dijalankan di Sinsuran.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata operasi selama seminggu yang berakhir semalam mengesan individu melakukan pelbagai kesalahan termasuk gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Akta Rumah Judi Terbuka, Akta Dadah Berbahaya serta Pendatang Asing Tanpa Izin (PTI).

Antara individu yang ditahan dalam operasi khas di Sinsuran, Kota Kinabalu.

“Sepanjang operasi dijalankan seramai 15 individu dikenakan kompaun kerana melanggar SOP PKPP manakala 13 lagi individu ditahan kerana didapati terbabit dalam kesalahan Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

“46 lagi individu ditahan selepas didapati melakukan kesalahan Akta Dadah Berbahaya 1952 membabitkan 37 lelaki dan sembilan wanita,” katanya.

Habibi berkata daripada jumlah individu ditahan, 18 adalah warga tempatan manakala 28 lagi adalah warga asing membabitkan kesalahan mengedar, memiliki dadah dan positif ujian saringan urin.

Sementara itu katanya, operasi yang dijalankan semalam berjaya menahan seramai 29 lagi individu membabitkan 22 lelaki dan tujuh wanita.

“Tujuh ditahan selepas gagal mengemukakan kad pengenalan diri yang sah, empat atas kesalahan melanggar SOP PKPP, dua memiliki syabu dan 16 lagi positif ujian saringan air kencing.

“Polis turut berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 19.09 gram yang dianggarkan bernilai RM1,900 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya.

Beliau berkata kesemua tahanan dibawa balik ke IPD Kota Kinabalu untuk proses dokumentasi dan tindakan selanjutnya.

“Kita mengalu-alukan masyarakat supaya membantu dengan menyalurkan maklumat berhubung aktiviti jenayah yang berlaku di daerah ini untuk tindakan segera.

“Polis akan terus menjalankan aktiviti pemantauan dan pencegahan jenayah dari semasa ke semasa bagi memastikan daerah ini sentiasa aman dan sejahtera,” katanya.- Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *